Ahli perniagaan ditahan, SPRM rampas wang tunai RM38 juta, 200kg emas


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sejumlah wang tunai kira-kira RM38 juta yang dirampas hasil operasi MATF yang diketuai SPRM pada Isnin lepas. – Gambar SPRM, 26 Julai 2023.

AGENSI antirasuah melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah dengan penahanan seorang ahli perniagaan terkenal berpangkat Datuk dan sekutunya Isnin lepas.

Menurut sumber, sindiket itu dilumpuhkan hasil operasi Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi besar-besaran ini dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

“Ahli perniagaan berkenaan dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai kira-kira RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebahagian kereta mewah yang disita dalam serbuan oleh pasukan MATF diketuai SPRM.  – Gambar SPRM, 26 Julai 2023.

Menurut sumber, operasi yang diberi nama Op 82S merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh peguam negara.

Dalam operasi pada Isnin lalu itu, serbuan serentak telah dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

Sebahagian barang kemas emas yang disita dalam serbuan oleh pasukan MATF diketuai SPRM.  – Gambar SPRM, 26 Julai 2023.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

The Malaysian Insight difahamkan selain ahli perniagaan berkenaan seramai 27 individu lagi ditahan dalam operasi khas itu. – 26 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen