Kerajaan akan keluar garis panduan surat sokongan anggota pentadbiran


Putrajaya memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai 2023.

SATU Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahgunakan bagi tujuan kepentingan peribadi.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional  (NACS),” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN 2022 menggunakan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga akan meneruskan momentum pelaksanaan Mesyuarat JKKMAR berdasarkan komitmen untuk memperkukuhkan tata kelola dan membanteras rasuah.

Mesyuarat berkenaan yang memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik juga bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan dengan format baharu yang lebih komprehensif dan ditambah baik bagi pelaporan pengisytiharan harta.  

“Justeru, ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik,” menurut kenyataan itu.

Indeks Governans Malaysia pula akan dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola akan dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan, menurut kenyataan itu. – Bernama, 6 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen