SPRM akan bertemu Tiong, pelancong China esok 


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya perlu mendapatkan maklumat berkaitan untuk siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia dijangka bertemu Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Tiong King Sing dan seorang warga China esok berhubung dakwaan rasuah melibatkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata pertemuan itu adalah untuk membantu siasatan.

“Sudah pasti maklumat yang mendakwa amalan rasuah telah didedahkan melalui laporan media, jadi SPRM perlu mendapatkan maklumat berkaitan untuk siasatan.

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua individu terbabit kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dalam situasi ini.

“Kami harap semua bersabar, dan jika ada kebenaran apa yang didedahkan, kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang SPRM,” Azam dipetik sebagai berkata oleh Utusan.

Siasatan SPRM adalah susulan daripada dakwaan Tiong terdapat pegawai imigresen di pintu masuk KLIA menyalahgunakan kuasa mereka dan terlibat dalam rasuah.

Jumaat lalu, Tiong dituduh melanggar protokol keselamatan di KLIA dan menyalahgunakan kedudukannya apabila dia didakwa memaksa melalui kaunter imigresen untuk “menyelamatkan” seorang pelancong yang ditahan pada Khamis.

Menteri itu bagaimanapun berkata “menyelamatkan” pelancong itu mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di KLIA dan warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.

Awal hari ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan akan diambil terhadap pegawai imigresen yang ingkar sementara menunggu siasatan. – 2 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen