SETAHUN sebelum bermulanya Sukan Olimpik di Paris, Pusat Pengguna Eropah Jerman (ECC) menasihatkan peminat supaya tidak menunggu terlalu lama untuk menempah hotel, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Harga sudah meningkat dengan mendadak,” kata seorang jurucakap ECC.
Pusat pengguna membuat pemantauan harga beberapa hotel di ibu negara Perancis itu sebagai perbandingan. Pada Februari 2023, kos masih sederhana.
Mengikut pemantauan itu, penginapan berharga €900 (AS$997) untuk hujung minggu yang panjang pada 2023 meningkat kepada lebih €3,000 pada Ogos 2024.
“Sudah tentu, ia bergantung kepada penginapan tertentu, tetapi sekarang tiket pertama telah dibeli, harganya hanya akan bergerak kepada satu arah,” kata jurucakap itu.
Pada masa ini, penginapan yang berada dalam akses mudah ke tempat sukan mendapat permintaan tinggi. Namun, masih terdapat bilik yang tersedia.
Sukan Olimpik di Paris akan bermula pada 26 Julai 2024. Di Paris lebih 85,000 bilik hotel disediakan untuk pelawat, manakala di wilayah Île-de-France akan terdapat 75,000 bilik lagi, menurut jawatankuasa pelancongan tempatan. – Bernama, 25 Julai, 2023.
Komen