Mahkamah Belanda tolak tuntutan kumpulan Sulu


MAHKAMAH Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan tuntutan anugerah timbang tara AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, lapor Reuters.

“Mahkamah menolak permintaan warga Filipina untuk menuntut pelaksanaan anugerah timbang tara itu,” menurut penghakiman yang dikeluarkan di laman web mahkamah hari ini.

Tahun lalu, mahkamah timbang tara Paris menganugerahkan waris AS$14.9 bilion waris Sultan Sulu yang terakhir, dalam pertikaian panjang dengan Malaysia berhubung perjanjian tanah semasa era penjajah.

Kumpulan Sulu ini dilapor telah berusaha merampas aset kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda Dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara tersebut.

Malaysia yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu menegaskan proses terbabit menyalahi undang-undang dan berikrar untuk melawan tindakan untuk merampas aset Malaysia.

September lalu kumpulan Sulu itu meminta kebenaran daripada mahkamah di Belanda untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara itu di negara berkenaan.

Mahkamah Belanda bagaimanapun memihak kepada Malaysia, dan memutuskan perjanjian asal itu tidak mempunyai klausa yang mengikat pihak-pihak kepada timbang tara tersebut. Hakim berkata penangguhan di Perancis bagi anugerah timbang tara itu bermakna tuntutan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda. – 27 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen