BN tampil calon malar segar kerana risiko, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

BN berusaha mengurangkan risiko dalam persaingan sengit PRN dengan meletakkan tokoh lama di kerusi yang mampu dimenangi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2023.

BARISAN Nasional (BN) berusaha mengurangkan risiko dalam persaingan sengit pilihan raya negeri (PRN) dengan meletakkan tokoh lama di kerusi yang mampu dimenangi, kata penganalisis.

Mereka melihat, peluang untuk BN mengekalkan kerusi terbabit lebih besar dengan tokoh yang malar segar, terutama dalam pertandingan satu lawan satu dengan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berpendapat, lebih mudah buat BN mencalonkan kembali penyandang atau pimpinan yang dikenali daripada meletakkan muka baharu.

“Dalam pertimbangan ketika mana pertembungan satu lawan satu antara kerajaan perpaduan, BN-PH dan PN. Pertimbangan ini, iaitu penyandang sentiasa ada kelebihan, kekal di situ.

“Kerana risiko sekiranya memperkenalkan muka baharu mereka tidak mempunyai masa yang cukup memastikan kebolehmenangan kerusi itu terjamin.

“Untuk memastikan kerusi berada di tahap 50-50 menang mereka tak berani ambil risiko itu dan terpaksa meletakkan kembali penyandang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin juga tidak menolak andaian mengenai risiko ditanggung BN jika mencalonkan muka baharu di kerusi yang berkenaan.

“Penyandang sentiasa ada kelebihan dengan gerak kerja berakar umbi yang sedikit sebanyak ada kelebihan menyumbang satu kerusi kepada kerajaan perpaduan.

“Ini juga berkaitan dengan kesukaran untuk BN mencari pelapis yang boleh menjamin kemenangan kerusi berkenaan,” katanya.

Pertimbangan itu juga katanya berisiko buat BN, apabila kebanyakan pengundi daripada daftar pemilih merupakan pengundi muda yang tidak mengenali susuk tubuh pemimpin lama.

Mereka juga cenderung untuk menolak muka-muka lama dan mahukan sesuatu yang lebih segar dan baharu, kata Hisomuddin.

Jelasnya, nama besar sahaja bukan satu jaminan kerana anak-anak muda tidak mengenali tokoh selain generasi lama yang sudah berakar umbi.

“Peratusan anak muda yang besar (dalam daftar pemilih) ada risiko dengan penolakan (ke atas) pemimpin muka lama,” katanya.

Beliau berkata BN menggunakan strategi sama seperti dilaksana dalam PRN Melaka dan Johor dengan mengambil kira jangkaan peratusan keluar mengundi yang rendah.

“BN kekal strategi sama tukar hampir 60% muka baharu, 40% muka lama dikekalkan,” tambahnya.

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau Mohamad Hassan mempertahankan kerusinya DUN Rantau di Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2023.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu sah akan bertanding di 108 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN 2008.

Tambahnya, untuk tujuan itu, BN sepakat meletakkan sebanyak 63% calon muka baharu, dengan hanya 18% dalam kalangan penyandang.

Sementara itu, 20% lagi terdiri daripada calon yang pernah bertanding dan mahu menawarkan diri mereka semula, katanya.

Antara mereka yang dicalonkan kembali termasuklah menteri pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau Mohamad Hassan, yang mempertahankan kerusinya DUN Rantau di Negeri Sembilan.

BN juga menampilkan Pengerusi Umno Kedah Mahdzir Khalid sebagai calon BN mewakili Pedu.

Turut ditawarkan, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan yang akan bersaing di Bertam selepas tewas di kerusi Parlimen Kepala Batas.

Manakala bekas menteri wilayah persekutuan yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Jalaludin Alias turut dicalonkan di Pertang.

Selain itu, dua bekas menteri besar Terengganu iaitu Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman masing-masing diumumkan sebagai calon semula bagi mempertahankan Kijal dan Seberang Takir.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali pula berpandangan, penyertaan tokoh lama itu akan dapat membantu muka baharu yang membentuk lebih separuh daripada calon BN.

“Saya berpandangan tiga tokoh ini malar segar, jadi tidak termakan masa dan usia. Lagipun Umno telahpun menamakan 63% calon muka baharu. Dalam pencalonan mesti ada gandingan muka lama dan baharu, 63% itu lebih daripada separuh.

“Umno juga perlukan muka lama untuk membimbing dan memastikan muka baharu berada di trek yang betul, pemimpin ini tak dimakan masa dan zaman, macam Presiden PAS Hadi Awang dalam PAS, atau Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang.

“Mereka diperlukan sebenarnya untuk memimpin parti masing-masing,” katanya.

PRN 2023 akan berlangsung 12 Ogos depan, dengan 29 Julai adalah hari penamaan calon.

PRN ini akan membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36). – 24 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen