Membina pentadbiran awam lebih telus, bertanggungjawab


Fakhrurrazi Rashid

Perlembagaan Persekutuan Perkara 135 memberi pelbagai sekatan pembuangan kerja dan penurunan pangkat ke atas penjawat awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2023.

INSIDEN Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Tiong King Sing membuat kecoh di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelancong China ditahan Jabatan Imigresen menimbulkan pelbagai reaksi tentang tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam.

Tiong mendakwa tindakannya itu untuk menghentikan budaya rasuah pegawai imigresen yang meminta wang sogokan kepada pelancong tersebut untuk proses membuat visa dan menghantar semula ke negara asal. Namun, terdapat reaksi berbeza yang mendakwa Tiong telah mengganggu tugas penjawat awam.

Presiden Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat mendakwa menteri mengganggu tugas penjawat awam. Pandangan bekas pengarah bahagian operasi khas SPRM, Bahri Mohamad Zain pula lebih keras, menyatakan menteri itu perlu ditahan pegawai imigresen kerana mengganggu tugas penjawat awam.

Ironinya, presiden Cuepacs dan bekas pengarah operasi khas SPRM itu tidak selesa dengan tindakan menteri yang dapat mengesan salah guna kuasa dalam perkhidmatan imigresen di KLIA. Bukankah tindakan menteri ini langkah proaktif yang sepatutnya dipandang serius?

Pemeriksaan mengejut Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke KLIA mendedahkan kelemahan pengurusan pintu masuk negara. Dalam satu kenyataan pada 3 Julai, 2023 Anwar menegaskan “masih ada kelompok kecil dalam Jabatan Imigresen yang masih selesa dengan sistem dan amalan lama sehingga boleh mengaitkan mereka dengan perlakuan rasuah”.

Kini, SPRM sedang memburu ejen didakwa meminta sogokan RM15,000 kepada pelancongan tersebut. Persoalannya, bagaimana ejen ini ada untuk menguruskan isu ini? Sejak bila perkhidmatan ini ada di lapangan terbang? Apakah salah jika tindakan menteri untuk membanteras salah guna kuasa? Atau semuanya perlu mengikut prosedur untuk membanteras rasuah?

Insiden ini seharusnya menyedarkan rakyat masalah integriti dalam perkhidmatan awam perlu diperkemas demi menjaga maruah negara. Prinsipnya penting, iaitu penjawat awam juga perlu bertanggungjawab dengan masyarakat.

Berkuasa dalam diam

Selain ahli politik, golongan penjawat awam juga mempunyai pengaruh dan kuasa dalam melaksanakan setiap dasar kerajaan. Istilah “Mandarin” digunakan kepada penjawat awam yang memegang kuasa terlampau besar dalam perkhidmatan awam.

Mereka ini kumpulan yang lebih arif tentang selok-belok pentadbiran awam. Boleh menjadi pemudah cara, tetapi boleh menyusahkan proses jika perkara tersebut tidak menyebelahi pihaknya.

Disebabkan pengaruh yang begitu kuat dalam perkhidmatan, segelintir daripada pegawai berani menyalahgunakan kuasa untuk kantung sendiri sehingga menjejaskan integriti dan produktiviti perkhidmatan kerajaan. Ada pula sanggup membentuk daulah terpendam (deep state) untuk menyukarkan kerja menteri. 

Ironinya, rakyat akan mendesak menteri letak jawatan jika berlaku kecurangan dalam pentadbiran. Tetapi, penjawat awam yang melakukan kesalahan masih boleh terus bekerja. Paling tidak ditukarkan ke jabatan lain untuk menutup kesalahan yang dilakukan.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan Perkara 135 memberi pelbagai sekatan pembuangan kerja dan penurunan pangkat ke atas penjawat awam. Jadi, bagaimana ingin memastikan integriti penjawat awam dijaga dengan baik?

Pada 2022, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Peguam Negara Idris Harun bagi menyiasat insiden Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Shafiq Abdullah yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai imigresen di KLIA. 

Pada 1 Disember, 2022 Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menamatkan perkhidmatan Shafiq mengikut peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tindakan ini membuktikan terdapat mekanisme efektif untuk menjaga integriti penjawat awam.

Namun, peraturan sahaja tidak cukup untuk membanteras salah guna kuasa di setiap kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan. Kekurangan mekanisme semak dan imbang secara terbuka ke atas perkhidmatan awam menyebabkan prestasinya terjejas dan boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan. 

Kuatkan semak dan imbang

Dalam isu Tiong dan dakwaan salah guna kuasa beberapa kakitangan Imigresen di KLIA, Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Dewan Rakyat sepatutnya memainkan peranan proaktif dalam menyiasat isu ini secara terperinci.

JPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dipengerusikan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen boleh memanggil pihak menteri dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengkaji kes ini secara objektif.

Prosedur JPK sekurang-kurangnya menunjukkan siasatan dijalankan secara bebas dan terbuka memandangkan anggota dalam JPK bersifat dwipartisan, yakni daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Penubuhan Ombudsman di bawah selian institusi parlimen untuk menggantikan Biro Pengaduan Awam tidak boleh melengah-lengahkan lagi.

Ombudsman berfungsi sebagai badan yang menerima laporan awam tentang salah guna kuasa yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan mengemukakan syor tindakan penambahbaikan pentadbiran awam. Kini, rang undang-undang Ombudsman ini berada di peringkat akhir untuk mendapat kelulusan jemaah menteri. 

Dalam konteks hari ini, Ombudsman yang bakal ditubuhkan perlu memberi fokus kepada perkhidmatan awam yang berdepan dengan rungutan rakyat seperti sektor kesihatan, pengurusan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, dan perkhidmatan di kaunter Jabatan Pengurusan Jalan (JPJ).

Pendekatan ini hampir sama seperti di parlimen United Kingdom (UK) yang menubuhkan Ombudsman khusus dalam sektor perkhidmatan kesihatan dipanggil Parliamentary and Health Service Ombudsman (PHSO).

Meskipun pentadbiran awam di UK tidak mempunyai kewajiban untuk menerima cadangan Ombudsman ini, tetapi hampir ke semua cadangan dikemukakan PHSO diterima oleh sektor kesihatan UK untuk mengoptimumkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Penubuhan Ombudsman dan peranan JPK dapat mempertingkatkan integriti serta kualiti perkhidmatan awam. Tiba masanya pendekatan semak dan imbang kepada penjawat awam perlu diperkukuhkan demi membentuk tadbir urus negara yang lebih baik.

Setiap penjawat awam, khasnya pemimpin tertinggi terbuka  dengan penyiasatan dijalankan oleh Ombudsman dan JPK di parlimen. 

Namun, fungsi institusi ini dapat diperkasa dengan adanya kesedaran daripada rakyat untuk memastikan pentadbiran awam bersih daripada elemen salah guna kuasa dan rasuah. Tidak guna perubahan ini hanya bertepuk di sebelah tangan dan tidak dipedulikan rakyat.

Kelemahan ini hanya membenarkan kesilapan berlaku berulang kali yang akhirnya memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat. – Bernama, 19 Julai, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen