Jumlah korban akibat ajaran sesat di Kenya cecah 403 orang


Pada April, media Kenya melaporkan empat orang mati kelaparan selepas terpengaruh dengan ajaran sesat bahawa mereka akan "bertemu Jesus" dengan cara itu. Jumlah korban kini mencecah 403 orang. – Gambar AFP, 18 Julai 2023.

ANGKA kematian berpunca daripada kebuluran akibat kultus di Kenya mencecah 403 orang selepas 12 lagi mayat ditemukan di Kilifi County di tenggara negara itu, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Isnin.

Pesuruhjaya Wilayah Pantai Rhoda Onyancha berkata tiada tangkapan baharu setakat ini dan jumlah keseluruhan orang yang ditahan kekal 37 orang, termasuk ketua kultus Paul Mackenzie, lapor penyiar Citizen.

Pada April, media tempatan melaporkan empat orang mati kelaparan selepas terpengaruh dengan ceramah Mackenzie bahawa mereka akan “bertemu Jesus” dengan cara itu. Sejumlah 11 lagi pengikut kultus itu dimasukkan ke hospital.

Mackenzie kemudiannya ditahan dan pada Mei lepas, pejabat pendakwa Kenya berkata dia akan didakwa atas keganasan.

Kultus bermaksud kelompok manusia yang menganuti dan mengamalkan satu sistem kepercayaan ritual berkaitan dengan pemujaan kuasa ghaib, roh dan sebagainya. – Bernama, 18 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen