DAKWAAN penderaan seksual di ladang teh Kenya yang menjadi pembekal kepada beberapa jenama terkenal di Britain akan disiasat, kata pendakwa raya semalam, susulan pendedahan wartawan Badan Penyiaran Britain (BBC).
BBC baru-baru ini mendedahkan lebih 70 wanita yang bekerja di ladang Rift Valley menjadi mangsa penderaan seksual oleh penyelia mereka selama bertahun-tahun.
Dokumentari itu mencetus kegemparan di Kenya yang merupakan antara pengeksport teh terbesar di dunia.
Pengarah Pendakwaan Noordin Haji berkata beliau sudah mengarahkan polis menyiasat tuduhan termasuk rogol dan penularan HIV secara sengaja.
“Kertas siasatan hendaklah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh tujuh hari,” kata Noordin dalam sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara Japhet Koome.
Dokumentari tersebut mendedahkan penderaan seksual berlaku di ladang milik Unilever dan sebuah lagi dimiliki James Finlay & Co. Berpuluh-puluh pekerja wanita mendakwa terpaksa menuruti kehendak penyelia mereka selepas diugut akan diberhentikan kerja, kata wartawan yang menyamar sebagai pekerja ladang.
Seorang wanita dilaporkan dijangkiti HIV daripada penyelianya, manakala beberapa orang lagi hamil. Seorang penyelia didakwa merogol seorang remaja 14 tahun yang tinggal di salah sebuah ladang terbabit.
Rakaman video secara rahsia oleh wartawan BBC itu juga memaparkan pengurus ladang meminta habuan seks daripadanya.
Susulan pendedahan itu Unilever dan James Finlay & Co berkata mereka akan melantik penyiasat bebas untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Pendedahan itu begitu mengejutkan, kata Unilever kepada AFP, manakala James Finlay & Co memaklumkan dua individu yang disebut dalam dokumentari tersebut telah digantung tugas serta-merta. – AFP, 23 Februari 2023.
Komen