WANITA Pertama Amerika Syarikat (AS) Jill Biden tiba di Kenya pada Jumaat bagi memulakan lawatan yang akan memfokuskan kepada kemarau terburuk yang melanda Afrika dalam beberapa dekad.
Kemarau yang berlarutan lima musim berturut-turut membunuh jutaan ternakan, memusnahkan tanaman dan menyebabkan kira-kira 22 juta orang berdepan risiko kebuluran di Ethiopia, Kenya dan Somalia.
Biden meneruskan lawatan ke Kenya dari Namibia, sebahagian daripada lawatan dua negara yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan benua itu.
Ia merupakan kawatan pertamanya ke rantau berkenaan sejak suaminya Presiden Joe Biden berkuasa.
Lawatan profesor kolej komuniti berusia 71 tahun itu juga akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan belia.
Lawatan itu bertujuan untuk memperkasakan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Afrika di Washington akhir tahun lalu yang mana Presiden Biden berkata negaranya menyokong segala bantuan untuk benua itu.
Semasa lawatannya ke Namibia, Biden berkata Amerika Syarikat komited untuk membantu negara-negara Afrika mendapatkan suara yang lebih lantang di PBB dan badan antarabangsa lain.
“Kami komited untuk memastikan negara-negara Afrika bukan sahaja mempunyai suara dalam organisasi seperti Majlis Keselamatan PBB dan G20, tetapi suara itu dihargai sebagai rakan kongsi yang sama rata,” kata Biden pada majlis makan tengah hari di Windhoek pada Khamis. – AFP, 27 Februari, 2023.
Komen