Kerusi panas Selangor mungkin luar jangkaan, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah and Terengganu akan mengadakan PRN pada 12 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2023.

PERUBAHAN besar politik yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebabkan trend sokongan pengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos di Selangor sukar dibaca, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pertembungan sengit sudahpun dijangka di beberapa kerusi namun keputusan mungkin berubah disebabkan faktor lain.

Oleh itu, gambaran lebih jelas di kerusi tersebut hanya akan dapat dilihat selepas penamaan calon dimuktamadkan, katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh kerusi DUN Sabak, yang dimenangi  Ahmad Mustain Othman, daripada Amanah, mewakili Pakatan Harapan (PH), dengan 130 undi majoriti pada PRU14, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Sallehuddin Mohd Iskan.

Kerusi di dalam Parlimen Sabak Bernam itu menyaksikan pertandingan sengit dengan kutipan majoriti pemenang hanyalah di bawah sekitar 400 undi sejak tiga penggal lalu antara BN dan PAS.

Jangkaan mudah akan membayangkan kerusi tersebut akan beralih ke tangan Perikatan Nasional (PN) dengan berpandukan prestasi gabungan itu dalam PRU15 di Selangor.

“Sabak itu, katalah sebagai contoh, bagi PN mungkin dalam tangan tapi kalau Umno contohnya meletakkan calon yang boleh dijamin kemenangan ia akan jadi panas.

“Bacaan asal satu-satu pihak yang rasanya boleh menang tiba-tiba datang faktor calon ketika fasa kempen menyebabkan ia jadi kawasan DUN kelabu.

“Peralihan ke mana-mana itu akan jadi penentu… Ada faktor lain yang datang menyebabkan bacaan mudah boleh menang tiba-tiba jadi tidak boleh baca dan menjadi perhatian,” katanya.

Oleh itu, faktor seperti kerjasama PH dan BN kali ini bakal menyaksikan sejauh mana gabungan itu berupaya diterima pengundi kali ini, jelasnya.

PH pada awalnya berjaya membentuk kerajaan bersama Bersatu selepas gabungan berkenaan berjaya menewaskan BN dalam PRU14.

Pentadbiran pimpinan perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad kemudian digulingkan Bersatu yang kemudian membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan itu kemudian bertukar semula dengan Ismail Sabri Yaakob daripada Umno menjadi menjadi perdana menteri kesembilan.

Bersatu seterusnya bergabung dengan PAS dan Gerakan bagi membentuk PN yang gagal membentuk kerajaan persekutuan namun berjaya meraih sokongan pengundi Melayu.

Kecenderungan sebahagian besar pengundi Melayu terhadap PN membolehkan gabungan itu menang enam kerusi Parlimen di Selangor pada 18 November lalu.

Siri perubahan tersebut menyebabkan keputusan PRU14 di sesetengah kerusi DUN tidak dapat menjadi asas petunjuk yang jelas di Selangor bagi PRN kelak, kata penganalisis.

Perubahan konteks politik itu antara lain melibatkan kerusi seperti Selat Kelang yang dimenangi PH ketika Bersatu masih menyertai gabungan itu.

Kerusi Selat Klang, yang kini diwakili komponen PN daripada Bersatu, menunjukkan gabungan itu mendapat lebih 50% undi, berbanding PH, yang mendapat 25% dan BN 22% undi.

Data PRU15 peringkat Parlimen menunjukkan kerusi DUN Morib, Selat Klang, dan Sijangkang sudah hampir pasti dimenangi PN kerana meraih sokongan lebih besar dari jumlah undi PH dan BN.

Di kerusi Morib (Kuala Langat), PN berjaya menguasai lebih 51% undian berbanding PH yang mendapat 29%, dan BN yang mendapat lebih 18% undi,

Di Sijangkang (Kuala Langat) pula, penyandangnya Ahmad Yunus Hairi dari PAS menang mewakili PAS kerusi itu dalam PRU14 dengan kelebihan 1,600 undi di kerusi itu.

Seterusnya dalam PRU15 lalu, beliau yang mewakili PN berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Langat, dengan kelebihan sekitar 1,800 undi.

Ketika itu juga, undi di DUN Sijangkang menunjukkan 56% pengundi daripada lebih 50,000 pengundi memilih PN, berbanding PH dan BN.

Data itu juga menunjukkan PN berjaya mendahului parti lain di kerusi majoriti Melayu dalam kutipan undian dengan memperolehi antara 33% hingga 56%  berbanding PH dan BN.

Kerusi tersebut termasuk Sungai Kandis, Sungai Ramal, Batang Kali, Hulu Bernam, Sementa, Kuang, Jeram, Morib, Sabak, Selat Klang, Sijangkang, Sungai Panjang, Sungai Air Tawar, dan Sungai Burong.

Selain kerusi Parlimen Kapar dan Kuala Langat, gelombang hijau PN turut membolehkan parti itu memenangi Sungai Besar, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Hulu Selangor.

Gelombang itu menyebabkan 15 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen terbabit khususnya kawasan majoriti Melayu menjadi sasaran kempen parti politik berasaskan Melayu dan Islam waktu ini.

Antara yang mencuri perhatian adalah kerusi Sungai Burong dan Permatang dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang, kubu kuat Umno sejak 30 tahun lalu.

Kerusi Parlimen tersebut diwakili bekas pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar sejak sekian lama namun dimenangi PN apabila bekas menteri itu digugurkan sebagai calon dalam PRU15.

Bagaimanapun kerusi DUN Sungai Burong dimenangi BN manakana Permatang dimenangi PH dalam PRU15.

PN mengumumkan anak perempuan Noh, Nurul Syazwani bakal dipertaruhkan di Permatang manakala ketua PAS Tanjong Karang Mohd Zamri Mohd Zainuldin di Sungai Burong.

Program besar gabungan itu untuk merampas negeri tersebut melalui Jelajah Selangor Baharu juga dimulakan di Tanjong Karang pada awal Jun lalu. – 18 Julai, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen