Bekas eksekutif didenda RM100,000 guna invois palsu


SEORANG bekas eksekutif sebuah syarikat didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini atas pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM41,760 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafez Manap, 38, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas satu pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Bekas eksekutif tindakan kebakaran dan kecemasan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan Perindustrian Gebeng, di Kuantan pada 11 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Bagaimanapun, sembilan lagi pertuduhan pilihan membabitkan invois palsu yang dihadapi Hafez dipertimbangkan mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry sebelum itu memohon denda RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam dan mengakibatkan kerugian kepada syarikat.

Peguam Ridha Abdah Subri memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah denda RM80,000 kepada anak guamnya yang sudah diberhentikan kerja selain mempunyai tanggungan isteri, dua anak serta ibu bapa. – Bernama, 17 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen