ENAM individu yang terpaksa menghabiskan hujung minggu Hari Raya di penjara Sungai Buloh kerana gagal membayar ikat jamin, mendakwa kaunter di kompleks mahkamah Kuala Lumpur ditutup awal, akhirnya dibebaskan hari ini selepas proses ikat jamin mereka selesai, peguam salah seorang lelaki itu memberitahu Free Malaysia Today.
Peguam Alvin Tan, sebelum ini mendakwa kaunter jaminan ditutup pada 2.53 petang Khamis walaupun terdapat notis yang menyatakan waktu pejabat adalah sehingga 4.30 petang.
Tan, mengesahkan pembebasan anak guamnya dengan portal berita berkata penjamin mereka diminta ke kaunter jaminan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi hari ini. Katanya, proses itu selesai sekitar tengah hari.
Keenam-enam mereka, Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen dan Wong Wai Hong, adalah antara 10 lelaki yang didakwa pada Khamis lalu atas tuduhan konspirasi jenayah dengan niat menipu.
Mereka dilaporkan tidak dapat membayar ikat jamin kerana mendakwa kaunter ditutup awal. Empat yang lain berjaya membayar ikat jamin lebih awal.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam menyangkal dakwaan penutupan awal itu.
Dalam satu kenyataan, pejabat itu berkata penjamin enam lelaki itu tidak berada di mahkamah untuk membayar ikat jamin mengikut prosedur dan bukan kerana pejabat ditutup awal.
Ia berkata kehadiran penjamin adalah sebahagian daripada prosedur standard dan mesti diikuti untuk mahkamah mengesahkan identiti mereka dan secara lisan menyampaikan terma dan tanggungjawab sepanjang tempoh jaminan.
“Dalam kes ini, penjamin enam daripada tertuduh tidak hadir sehingga kaunter ditutup pada pukul 4 petang, justeru proses jaminan mereka tidak dapat diselesaikan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan. – 24 April, 2023.
Komen