Semakan Najib diputuskan sebelum akhir Mac, kata Mahkamah Persekutuan


Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2023.

MAHKAMAH Persekutuan menangguhkan sehingga bulan depan untuk memberikan keputusan terhadap permohonan Najib Razak bagi mendapatkan kebenaran menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel lima hakim berkata mahkamah akan memberikan keputusannya sebelum 31 Mac ini.

“Kami tidak dapat memberikan keputusan hari ini. Ia akan diputuskan kemudian.

“Semua pihak yang terlibat akan dimaklumkan,” katanya, pada penghujung perbicaraan semakan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Najib mahu Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan panel lain mahkamah yang sama pada Ogos 2022 yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman dalam kes melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDB itu.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan juga dikenakan denda RM210 juta selepas sabit kesalahan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Permohonan untuk semakan semula ini juga didengar oleh panel lima hakim yang turut disertai tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Vernon Ong Kiat, Rhodzariah Bujang, dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Selain permohonan untuk semakan semula, Najib juga mengemukakan permohonan untuk pengampunan diraja serta membuat petisyen kepada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa beliau ditahan secara salah dan minta dibicara semula.

Dalam permohonannya, Najib melalui peguamnya Muhammad Shafee Abdullah antara lain berhujah hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Nazlan yang kini sudah dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan mempunyai kepentingan semasa mengendalikan kesnya.

Najib mendakwa Mohd Nazlan yang pernah menjadi penasihat undang-undang kepada Maybank dan bank itu terlibat menasihati 1MDB dalam perkara yang membawa kepada penubuhan SRC International.

Najib juga mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak tiga permohonannya semasa mendengar rayuannya iaitu untuk memperkenalkan keterangan baharu untuk menangguhkan perbicaraan rayuan kerana baru melantik pasukan peguam lain dan untuk mengecualikan Tengku Maimun daripada terlibat mengendalikan rayuannya. – 28 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen