Muda tak ingin jadi 'kingmaker', kata Syed Saddiq


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda ingin memastikan pembaharuan dapat dilaksanakan khususnya membabitkan pendidikan dan pertembungan idea antara lawan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Julai, 2023.

MUDA menyertai pilihan raya untuk memastikan reformasi dilaksana dan bukan untuk menjadi king maker sewaktu pembentukan kerajaan, kata presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, partinya fokus ingin memastikan pembaharuan dapat dilaksanakan khususnya membabitkan pendidikan dan pertembungan idea antara lawan politik.

“Muda bukan nak jadi king maker. Muda di sini untuk jadi pembuat dasar. Keutamaan kami adalah untuk mengubah polisi, menang atau kalah, kami akan berjuang untuk Malaysia dan kepelbagaiannya.

“Bukan jumlah menang kerusi banyak atau sedikit dan menjadi ‘king maker’,” kata Syed Saddiq, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, baru-baru ini di ibu negara.

Beliau menegaskan, Muda berhasrat membawa budaya politik baharu agar individu yang ingin diberikan jawatan berdasarkan merit dan bukannya kesetiaan kepada individu atau pemimpin.

Menurut Syed Saddiq, Muda berhasrat membawa budaya politik baharu agar individu yang ingin diberikan jawatan berdasarkan merit dan bukannya kesetiaan kepada individu atau pemimpin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Julai, 2023.

Sehubungan itu katanya, penyertaan Muda secara bersendiri dalam pilihan raya negeri (PRN) juga untuk menyedarkan kerajaan agar tidak mengkhianati janji reformasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kalau setakat isi orang yang setia kepada kamu dan akhirnya, mengorbankan keseluruhan institusi yang berbilion ringgit, itu satu masalah.

“Inilah yang penting, saya mahu pembaharuan dan perubahan struktur polisi seperti di dalam pendidikan. Bukan soal kerusi dan kuasa.

“Bila kami sertai (PRN), matlamat kami adalah ingin sampaikan peringatan supaya kerajaan tidak lagi mengkhianati rakyat,” katanya.

Syed Saddiq mengharapkan satu sistem politik baharu di mana persaingan antara parti adalah berdasarkan idea agar negara ini mampu pergi lebih jauh.

“Saya bayangkan sistem politik yang berteraskan kami bersaing idea dan perkhidmatan untuk menjadikan Malaysia berjaya.

“Kalau lawan saya menang sekalipun saya gembira kerana saya tahu Malaysia menuju ke arah yang betul,” katanya.

Dengan cara itu, Malaysia berupaya menjadi negara yang benar-benar mempunyai dasar dan polisi berteraskan kepelbagaian kaum dan agama, katanya.

“Politik baharu bermakna, katalah kami menang beberapa kerusi, kami tak bercakap tentang berapa jumlah exco dan sebagainya.

“Keutamaan kami adalah kami mahu pembaharuan dalam sistem ini, sistem pendidikan, pemilihan anggota GLC dan GLC negeri, perlu melalui pemilihan secara meritokrasi, buka kepada semua.

“Pastikan ada profesional dalam pilihan, bukan hanya calon tertentu yang dipilih, saya tiada masalah jika ada calon yang betul-betul bijaksana dipilih,” katanya.

Katanya segelintir pihak melihat keputusan menyertai PRN secara solo ibarat membunuh Muda, namun perjuangan mereka tidak hanya setakat pilihan raya itu.

Sebaliknya, usaha itu kata Syed Saddiq adalah untuk menyediakan pemimpin masa hadapan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Saya hormat kritikan-kritikan tertentu dan saya akan buktikan dengan tindakan. Orang akan berasa panik jika lihat laluan Muda akan berakhir di PRN. Bertanding menentang dua blok politik besar, dengan sumber dana yang besar, ada yang ada menteri.

“Tetapi akan jadi kurang panik jika merasakan ini pelaburan untuk 20 tahun masa depan. Saya mengetahui cabarannya berliku dan akan berhadapan sama ada kemenangan ataupun dan kekalahan.

“Kalau mahu mengubah polisi dan pelaburan untuk pemimpin masa depan…Ia mengenai pelaburan pembinaan negara bangsa menjadikan Malaysia negara yang hebat,” tambahnya lagi.

Muda pada Khamis mengumumkan empat pemimpin parti itu yang bakal bertanding dalam PRN 12 Ogos di Selangor, negeri yang bakal menyaksikan saingan sengit.

Setiausaha agungnya Amir Abdul Hadi diumumkan sebagai calon kerusi Sri Serdang manakala seorang anggota jawatankuasa pusat Thanusha Ramanieswaran akan bertanding di Sentosa.

Dua lagi terdiri daripada Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen yang diumumkan sebagai calon Batu Tiga dan seorang lagi Melanie Ting Yi-Hlin bagi kerusi Bukit Antarabangsa. – 16 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen