KESATUAN Sekerja Verdi menggesa pekerja di pusat pengedaran Amazon di Jerman supaya mengadakan mogok pada Selasa untuk memperjuangkan perjanjian kolektif mengenai gaji dan syarat lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pekerja di sembilan pusat pengedaran di sekitar Jerman, termasuk di bandar Leipzig, Dortmund dan Koblenz, digesa menyertai mogok itu.
Tuntutan utama Verdi adalah untuk Amazon mengiktiraf perjanjian kolektif bagi seluruh industri untuk sektor pesanan runcit dan mel.
“Ia adalah mengenai maruah dan rasa hormat.
“Hanya perjanjian kolektif menyediakan perlindungan yang mengikat pekerja terhadap tindakan sewenang-wenangnya oleh pihak korporat dan ia adalah tanda pengiktirafan ke atas kerja keras yang dilakukan pekerja setiap hari,”menurut kesatuan itu.
Gergasi runcit Amerika Syarikat itu yang menjangkakan mogok berkenaan menyatakan tindakan itu tidak akan menimbulkan kesulitan atau menjejaskan pelanggan.
Amazon berkata gaji peringkat kemasukan dalam logistik, termasuk bonus, dijangka meningkat kepada €14 (AS$15.43) sejam mulai September dan seterusnya. Syarikat juga akan menyediakan lebih banyak manfat kepada pekerja.
Bagaimanapun, menurut Verdi, pekerja Amazon masih memperoleh beberapa ratus euro kurang daripada mereka yang bekerja di syarikat yang terikat dengan perjanjian kolektif.
Beberapa tindakan mogok telah pun bermula pada Ahad.
Sementara itu, jualan Amazon berlangsung pada Selasa dan Rabu. – Bernama, 12 Julai, 2023.
Komen