EMPAT kanak-kanak Orang Asli yang hilang selama lebih dua minggu selepas terbabit nahas kapal terbang di Amazon Colombia ditemui selamat, kata Presiden Gustavo Petro pada Rabu.
Petro berkongsi berita itu di Twitter, mengatakan kanak-kanak itu ditemui selepas “usaha pencarian yang sukar” oleh anggota tentera.
Pihak berkuasa mengerahkan lebih 100 askar dengan anjing penghidu untuk mencari kanak-kanak yang menaiki pesawat yang kemudiannya terhempas di Amazon pada 1 Mei, membunuh tiga orang dewasa.
Pasukan penyelamat percaya empat kanak-kanak berusia 11 bulan, 13, 9 dan 4 tahun itu berkeliaran di dalam hutan di bahagian selatan Caqueta sejak nahas itu.
Awal Rabu, angkatan tentera berkata usaha mencari dipergiat selepas penyelamat menemui “tempat perlindungan yang dibina secara improvisasi dengan kayu dan dahan,” menyebabkan mereka percaya ada yang terselamat.
Berdasarkan gambar yang dikeluarkan oleh angkatan tentera, gunting dan ikat rambut boleh dilihat di antara dahan di hutan.
Sebelum ini, pasukan penyelamat turut menemui botol minuman bayi dan sebahagian buah yang sudah dimakan.
Pada Isnin dan Selasa, tentera menemui mayat juruterbang dan dua penumpang dewasa yang terbang dari lokasi hutan ke San Jose del Guaviare, salah satu bandar utama di hutan hujan Amazon Colombia.
Seorang penumpang yang maut, Ranoque Mucutuy, adalah ibu kepada empat anak itu, yang berasal dari etnik Huitoto.
Pokok gergasi yang boleh tumbuh sehingga 40 meter tinggi, haiwan liar dan hujan lebat menyukarkan pencarian “Operasi Harapan”.
Tiga helikopter digunakan untuk membantu, salah satunya mengeluarkan mesej rakaman daripada nenek kanak-kanak itu dalam bahasa Huitoto yang menyuruh mereka berhenti bergerak meredah hutan.
Pihak berkuasa belum menyatakan punca nahas pesawat itu.
Juruterbang melaporkan masalah enjin beberapa minit sebelum pesawat itu hilang daripada radar, kata badan tindak balas bencana Colombia.
Ia adalah wilayah dengan beberapa jalan yang juga sukar untuk diakses melalui sungai, jadi pengangkutan kapal terbang adalah perkara biasa. – AFP, 18 Mei, 2023.
Komen