POLIS Brazil mendakwa mempunyai bukti kukuh seorang yang dikatakan pengedar dadah telah mengarahkan pembunuhan wartawan British dan aktivis Orang Asli di Amazon pada Jun lalu, kata seorang ketua polis pada Isnin.
Polis percaya Ruben da Silva Villar, yang menggunakan nama samaran “Colombia” dan kini dalam tahanan, telah mengarahkan pembunuhan dua lelaki itu, kata ketua polis persekutuan di wilayah Amazon Eduardo Fontes pada sidang media.
Fontes berkata kes pembunuhan wartawan United Kingdom (UK) Dom Phillips, 57, dan Bruno Pereira, seorang aktivis Orang Asli berusia 41 tahun, telah selesai “90 peratus” dan “secara praktikal ditutup.”
“Siasatan berada di fasa terakhir dan kami mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan ‘Colombia’ sebagai dalang jenayah ini,” kata Fontes.
Da Silva Villar telah berada dalam tahanan polis sejak Disember, tetapi identitinya sukar dipastikan kerana dia membawa tiga set kad pengenalan, dua dari Peru dan satu dari Brazil, kata polis.
Pihak berkuasa akhirnya menentukan dia dilahirkan di Puerto Narino, Colombia, sebuah bandar di rantau Amazon berhampiran sempadan Colombia, Brazil dan Peru.
Phillips dan Pereira ditembak mati pada 5 Jun di Valle de Javari, kawasan terpencil di mana penangkapan ikan haram, perlombongan dan pembalakan berleluasa.
Fontes berkata Villar telah menyediakan senjata dan bot kepada tiga lelaki yang dituduh melakukan pembunuhan itu, dan kemudian membayar peguam untuk salah seorang daripada mereka.
Phillips, seorang wartawan bebas yang kerjanya muncul dalam The Guardian dan The New York Times, sedang mengembara bersama Pereira bagi membuat penyelidikan untuk sebuah buku di Amazon.
Villar telah ditahan pada Julai, dan dibebaskan pada Oktober dengan bon. Tetapi mahkamah memerintahkan dia dipenjarakan sekali lagi selepas dia gagal memenuhi syarat kebebasan bersyaratnya. – AFP, 24 Januari, 2023.
Komen