Tragedi kepala air: Operasi kesan baki 2 mangsa diteruskan


Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih yang masuk hari kelima hari ini diteruskan pada 9 pagi tadi. – Gambar Facebook, 6 Julai, 2023.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih yang masuk hari kelima hari ini diteruskan pada 9 pagi tadi.

Dua mangsa yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata operasi SAR diteruskan di sektor A (lokasi kejadian) iaitu dari Menara Sapura hingga ke jambatan Kampung Teladas sejauh 6.3 kilometer.

Sementara di sektor B pencarian bermula dari belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Putih menghala ke ladang jagung di Pos Kawalan Hadapan (PKH) hingga ke kawasan perangkap sampah Sungai Pinang.

“Di sektor C iaitu muara Kuala Kemaman, pihak bomba meneruskan pemantauan menggunakan bot setiap dua jam,” katanya pada sidang media di Balai Polis Air Putih di Chukai hari ini.

Menurut Azman 279 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dikerah untuk operasi SAR hari ini.

Beliau berkata khidmat anjing pengesan K9 dan unit dron juga akan digunakan untuk pencarian di sektor A dan B.

“Kesemua 279 petugas ini kami akan pecahkan kepada 14 kumpulan dengan setiap kumpulan diketuai oleh seorang pegawai di setiap lokasi,” katanya.

Lapan orang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih pada Sabtu lepas, manakala dua lagi masih hilang.

Jenazah lapan mangsa tersebut  telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan semalam. – Bernama, 6 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen