Mayat pelatih AMD lemas ketika mandi di Baling ditemukan


Selepas lebih 20 jam usaha mencari akhirnya, akhirnya mayat Muhammad Saiful Ezzudin ditemukan kira-kira 9 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Sungai Ketil, Kedah. – Gambar Facebook, 24 Mac, 2022.

MAYAT pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD)  Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan petang tadi selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak semalam.

Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira 5.46 petang.

“Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

“Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi tadi.

“Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

“Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di persisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Semalam, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 1 tengah hari.

Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk  Bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19  hingga 27 Mac ini. – Bernama, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen