Ke mana arah PRN kali ini?


Fakhrurrazi Rashid

Menggunakan pilihan raya, baik negeri atau PRK untuk menumbangkan kerajaan adalah satu pendekatan yang boleh meruntuhkan nilai sistem politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2023.

SATU persatu dewan undangan negeri (DUN) di enam negeri dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada Ogos nanti.

Secara prinsipnya, PRN ini sekadar untuk memilih pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun lagi. Asas ini tidaklah faktor tunggal kerana setiap pilihan raya itu terdapat pelbagai agenda dan kelicikan tersendiri.

Perikatan Nasional (PN) mahu menggunakan PRN untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang belum masuk setahun pentadbirannya.

Naratif menumbangkan kerajaan pusat ini jelas di bibir pemimpin kanan PN seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamed Azmin Ali sendiri.

Menggunakan pilihan raya, baik negeri atau pilihan raya kecil (PRK) untuk menumbangkan kerajaan adalah satu pendekatan yang boleh meruntuhkan nilai sistem politik negara.

Naratif yang sama digunakan oleh Muafakat Nasional (MN) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Umno dan PAS menggunakan PRK untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak habis sepenggal.

Jika PRN digunakan sebagai teguran kepada kerajaan pusat, ia boleh diterima. Tetapi mesej menjatuhkan kerajaan pusat ini menyimpang daripada tujuan asal PRN.

Ia bukan sekadar permainan politik yang tidak sihat, tetapi akan menambahkan beban rakyat.

Nampaknya, apa yang diberitahu Khairy Jamaluddin yang “tsunami tidak puas hati” akan melanda PRN kali ini nampaknya benar.

Khairy dapat melihat fenomena ini kerana dia juga tergolong dalam kalangan tidak puas hati dengan presiden Umno bersama rakan-rakan lain.

Apa untungnya?

Bagi dia, orang Melayu tidak berpuas hati kerana hipokrasi kerajaan perpaduan, mengangkat presiden Umno yang terpalit rasuah sebagai ahli pentadbiran walhal pendirian PH adalah sebaliknya. Pendirian ini dilihat separa benar.

Sekiranya Umno bersama PN membentuk kerajaan pusat selepas PRU15, adakah Umno akan tiba-tiba baik?

Atau sekiranya Annuar Musa menjadi presiden Umno, adakah masalah ketidakpuasan hati Melayu akan kendur? Rasanya tidaklah begitu.

Ramai bekas pemimpin Umno menjadikan PAS sebagai destinasi persinggahan untuk melepaskan geram terhadap presiden Umno dan Anwar.

Tidak terkejut jika pemimpin yang kecewa dan berdendam ini kembali ke pangkuan Umno kalau Najib Razak kembali bersama parti. Masa itu nanti, terlihat pula hipokrasi ahli politik Melayu yang berdendam itu tadi.

Dari sudut yang berbeza, ia seolah-olah memperlihatkan PRN seperti acara gusti Royal Rumble antara Anwar yang diserang berduyun-duyun oleh musuh politiknya demi menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Soalnya, apakah kempen ini berbaloi untuk kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat? Sudah pastinya tidak.

Hampir lima tahun, Malaysia dibebani dengan politik domestik yang memainkan isu kaum dan agama.

Kemerosotan parti-parti Melayu yang tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk menjadi kerajaan sejak 2018 menjadi alasan mengapa isu sensitif kian dimainkan.

Parti pelbagai kaum yang semakin mendapat kepercayaan rakyat pula gagal melahirkan kerangka dan panduan untuk berkerajaan.

Kelemahan ini pula menjadi punca parti pelbagai kaum sukar menangkis propaganda yang cenderung kepada Melayu-Islam.

Bibit-bibit ini melahirkan satu kebuntuan. Mana-mana parti yang membentuk kerajaan hari ini, baik di peringkat Putrajaya dan negeri, terpaksa berhempas-pulas untuk mengatasi isu domestik sehingga tidak ada ruang membincangkan dasar-dasar ekonomi dan global dengan inklusif.

Ini yang sedang berlaku dalam kempen PRN sekarang. Ketandusan idea ekonomi ini membuka ruang untuk rakyat bernostalgia dengan kejayaan lama tanpa rencana pemikiran masa hadapan.

Ketika Indonesia sedang sibuk membina bandar Nusantara untuk membuka peluang ekonomi, ada ahli Parlimen Malaysia masih terperangkap dengan perdebatan baju jururawat ketat.

Ketika Vietnam menjadi antara 30 negara terbesar di dunia dan kedua termaju selepas Singapura di rantau Asia Tenggara, masih ada parti politik Malaysia mengidamkan ekonomi zaman “Bossku” dikembalikan.

Jadi apa yang kita ingin lihat dalam PRN kali ini?

Dua PRN yang lepas di Semenanjung iaitu Melaka (2021) dan Johor (2022) menyaksikan desakan terburu-buru untuk mengadakan PRU15 dengan segera kerana kononnya BN boleh menang.

Apakah berbaloi jika PRN kali ini juga dijadikan alat bagi mendesak pertukaran kerajaan pusat secara terburu-buru? Adakah ini berbaloi untuk negara dan negeri itu sendiri?

Tanya soalan yang betul

Pengundi di keenam-enam negeri ini perlu bertanya soalan yang betul – ke manakah arah PRN kali ini membawa pentadbiran negeri dalam tempoh lima tahun akan datang?

Adakah untuk kembali ke masa silam yang tidak dapat menyelesaikan masalah baharu? Atau memilih parti yang mampu mentadbir dan menguruskan ekonomi negeri dengan baik?

Soalan yang betul ini perlu diterjemahkan dengan usaha memastikan kadar keluar mengundi yang lebih baik.

Peratusan keluar mengundi di PRN Johor dan Melaka masing-masing gagal mencapai 70% seperti yang diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Adakah trend ini akan berulang lagi?

Tidak munasabah jika PRN kali ini masih memberi kesukaran kepada pengundi untuk menjalankan amanahnya memandangkan SPR sudah menguruskan PRU15 dan beberapa PRN sebelum ini.

Pihak industri juga sepatutnya lebih terbuka untuk memberi laluan kepada pekerjanya melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Realitinya, kuasa pengundi itu sebenarnya besar. Sekiranya berpuluh ribu pengundi bertanya soalan yang betul dalam PRN kali ini, sudah pasti parti politik akan lebih berhati-hati dalam mengatur strategi dan dasar untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Pengundi perlukan kerajaan yang mempunyai autoriti dalam melakukan perkara yang betul buat rakyat, bukan membawa isu-isu popular yang tidak mampu menyelesaikan cabaran dihadapi rakyat.

Tidak salah kalau pengundi cuba bertanyakan soalan yang betul – tentang dasar, ekonomi, kesejahteraan sosial, dan perpaduan kepada calon dan parti yang akan bertanding nanti.

Bak kata pepatah “Kalau malu bertanya, sesat jalan”. Sebab itu, bertanya soalan yang penting itu penting sebelum kita tersesat memilih pemimpin yang membawa tsunami tidak puas hati. – 28 Jun, 2023.
 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen