Di sebalik saman pengerusi Suhakam ke atas pegawainya


BARU-BARU ini timbul kekecohan apabila Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad mengambil tindakan memfailkan saman sivil terhadap pegawai suruhanjaya kerana pegawai tersebut membuat aduan dalaman berkaitan salahguna kuasa dan diskriminasi terhadap beliau.

Fakta sebenar berkaitan aduan tersebut tidak kita ketahui kecuali melalui dokumen awam yang diperolehi iaitu kenyataan tuntutan yang dibuat oleh pengerusi Suhakam.

Masyarakat awam masih belum mendengar daripada pihak yang mengadu kerana kenyataan pembelaan masih belum difailkan.

Apabila terdapat kritikan daripada masyarakat madani tentang tindakan tersebut yang dilihat sebagai cubaan menyekat siasatan dijalankan, Rahmat bersetuju menarik semula saman berkenaan dan membuat pelbagai janji yang luar biasa.

Namun apa yang membimbangkan adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Suhakam seperti yang dilaporkan secara meluas oleh media, tidak secara jelas menyatakan siasatan akan dibuat berkenaan aduan rasmi terhadap pengerusi Suhakam.

Sebaliknya siasatan akan dilaksana ke atas segala dakwaan dan aduan yang telah didedahkan kepada media tidak kira melibatkan pesuruhjaya atau pegawai.

Kenyataan ini seolah-olah membayangkan siasatan bukanlah berkaitan aduan rasmi terhadap Rahmat sebaliknya berasaskan apa yang dilaporkan oleh media termasuklah terhadap pegawai.

Dari satu sudut, ia mengandungi unsur ugutan terhadap pegawai yang telah membuat aduan. 

Manakala tuntutan masyarakat madani supaya Rahmat mengambil cuti sementara siasatan bebas dijalankan berkenaan aduan rasmi ke atasnya tidak diendahkan.

Bagaimanapun, ketika saya cuba mencari kenyataan Suhakam tersebut di laman sesawang Suhakam, saya tidak dapat menjumpainya sebaliknya Suhakam hanya mengeluarkan kenyataan ringkas di sini.

Adakah Suhakam menarik balik kenyataan yang dibuat terdahulu atau terdapat usaha ‘manouvering’ sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Suhakam. Mungkin Suhakam lebih sesuai memberikan penjelasan berkenaan perkara ini.

Tuduhan liberal dan agenda barat

Isu tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Pertubuhan Muslim itu kemudiannya membuat  pelbagai andaian, spekulasi dan tuduhan berhubung skandal yang berlaku di Suhakam.

Tuduhan tersebut menunjukkan seolah-olah ada usaha dalam kalangan puak liberal di Suhakam untuk menjatuhkan Rahmat kerana beliau berusaha membawa hak asasi manusia di Malaysia selari dengan Islam dan mewujudkan kerjasama dengan NGO Islam yang mana tidak pernah dilaksana oleh Suhakam sebelum ini.

Benarkah dakwaan ini?

Sehingga sekarang tiada kenyataan dikeluarkan oleh Suhakam berkenaan dakwaan ini. Mungkin benar kata Rahmat, Suhakam lebih gemar bekerja secara senyap di belakang tabir sekarang ini.

Peliknya, apabila menyentuh isu pengerusi Suhakam, cepat sahaja kenyataan dikeluarkan.

Perlu kita sedar bahawa Suhakam ditubuhkan sejak 2000. Sepanjang penubuhan Suhakam, terdapat ramai tokoh agamawan negara yang disegani masyarakat telah sebagai pesuruhjaya Suhakam.

Antaranya adalah Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh dilantik dari tahun 2016-2022; Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj A Majid (2010 – 2016), Allahyarham Datuk Dr Muhammad Uthman El-Muhammady (2006 - 2008) dan Prof Dato Dr Abdul Monir Yaacob (2002 – 2010).

Pelantikan mereka sebelum ini sebagai pesuruhjaya Suhakam tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan tiada pula usaha menjatuhkan mereka.

Sekiranya kita menerima tuduhan yang dicanangkan oleh pertubuhan Muslim tersebut, adakah semua bekas pesuruhjaya Suhakam ini adalah tokoh liberal dan menyebarkan agenda barat di Malaysia melalui Suhakam sebelum ini?

Sekiranya budaya Iqra diamalkan, sudah pasti ramai yang sedar tuduhan terhadap Suhakam tersebut adalah palsu. Ini kerana Suhakam bukanlah institusi yang bergerak secara rahsia.

Segala aktiviti Suhakam dilaporkan di dalam laporan tahunannya dan kewangan Suhakam diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Laporan Tahunan Suhakam yang dikeluarkan setiap tahun menunjukkan pelbagai program melibatkan badan dan tokoh agama Islam serta isu-isu hak asasi manusia yang berkaitan Umat Islam diperjuangkan oleh Suhakam.

Program Hak Asasi Manusia dan Islam

Antara program tersebut adalah Perbincangan Meja Bulat berkaitan ‘Hak Asasi Manusia dan Islam’ pada 20 Mac 2012 anjuran Suhakam dan International Institutes of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Satu lagi, ‘Seminar Hak Asasi Manusia dan Islam di Malaysia: Teori, Hakikat Semasa dan Halatuju Masa Depan’ pada 27 – 28 November 2013 anjuran Suhakam dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Turut dianjurkan, Seminar Kebangsaan Mengenai Islam dan Hak Asasi Manusia pada 27 November 2018 anjuran Suhakam dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seminar Masjid Mesra OKU pada 20 Oktober 2018 .

Selain itu, Suhakam pada 2018 terlibat menyediakan lima teks khutbah Jumaat berkaitan topik hak asasi manusia kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Laporan tahunan Suhakam 2018 menunjukkan lima teks khutbah yang disediakan oleh Suhakam untuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) disenaraikan seperti berikut:

Hak kepada Kesihatan Khutbah khas memperingati Israk Mikraj (Jawi), 13 April 2018

Hak Pelarian Kemuliaan Membela Golongan Teraniaya (Jawi), 6 Julai 2018

Hak Orang Asli Demi Islam Demi Negara (Jawi), 31 Ogos 2018

Hak Perlindungan daripada Kezaliman (Jawi), 26 Oktober 2018

Menyantuni Orang Kurang Upaya Malaysia Harmoni (Jawi dan JHEAINS), 7 Disember 2018

Jika kita menerima logik yang dibawakan oleh kenyataan pertubuhan Muslim tersebut, sudah pasti IAIS Malaysia, Ikim, Jakim, Jawi, JHEAINS turut berkomplot dengan Suhakam untuk mengembangkan agenda barat dan liberal melalui khutbah Jumaat yang dibaca di masjid-masjid berkenaan menjadi alat penyebaran tersebut.

Selain itu, Laporan Tahunan Suhakam juga menyebut penganjuran Program Literasi Hak Asasi Manusia untuk Jabatan Agama Islam Negeri untuk memberikan kesedaran berkaitan isu hak asasi manusia kepada pegawai jabatan agama negeri sejak 2017.

Adakah jabatan agama Islam negeri juga telah terpengaruh dengan ideologi barat dan liberal Suhakam?

Apabila isu kebakaran sekolah tahfiz berlaku pada tahun 2017, Suhakam adalah antara institusi terawal menganjurkan siri Bengkel Hak Asasi Manusia dan Hak Kanak-Kanak untuk pentadbir sekolah tahfiz di negeri-negeri.

Suhakam bukan sekadar mengadakan program kesedaran dan seminar malah turut membawa isu hak asasi manusia yang melibatkan kepentingan umat Islam tersebut kepada Majlis Raja-Raja apabila mengadakan pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 1 Oktober 2019.

Ia bagi mengemukakan tiga isu untuk pertimbangan dan perbincangan Majlis Raja-Raja iaitu isu pendaftaran sekolah tahfiz, perkahwinan bawah umur dan masjid mesra orang kurang upaya.

Semua program dan libat urus ini dijalankan oleh Suhakam sebelum Rahmat dan pasukan pesuruhjayanya dilantik sekarang ini.

Justeru, di manakah asasnya dakwaan bahawa Suhakam sebelum ini membawa agenda barat dan liberal bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Suhakam sendiri menjawab dengan tegas dan jelas terhadap pelbagai tuduhan palsu pada 14 Januari 2022.

Janganlah kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak, dengan menafikan pelbagai usaha besar yang telah dilaksanakan oleh Suhakam selama ini dari aspek Islam dan hak asasi manusia.

Geran EU

Isu geran Kesatuan Eropah (EU) yang diperolehi Suhakam juga dipertikaikan. Perlu kita ketahui Akta Suhakam membenarkan Suhakam menerima geran daripada pihak luar bagi tujuan pendidikan dan promosi hak asasi manusia.

Berdasarkan laporan tahunan Suhakam, penerimaan geran daripada EU kali ini adalah bukan untuk kali pertama.

Selain geran EU, Suhakam dalam laporan tahunan 2018 menyebut penerimaan geran daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk untuk menganjurkan tiga forum “Mempromosikan Persefahaman dan Pemakaian Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP)” di Terengganu, Putrajaya dan Johor masing-masing pada 12, 16 dan 20 Ogos 2018.

Malahan untuk Geran EU yang diterima oleh Suhakam pada 2018 digunakan untuk mendanai Seminar Kebangsaan Mengenai Islam dan Hak Asasi Manusia pada 27 November 2018 dengan kerjasama Jakim di Pusat Dagangan Dunia Putra (sekarang dikenali Pusat Dagangan Dunia).

Antara ahli panel seminar tersebut ialah Prof Abdul Monir Yaacob (Universiti Islam Malaysia), Prof Dr Mohd Azizudin Mohd Sani (Universiti Utara Malaysia), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil (sekarang ketua pengarah IKIM), Prof Mohd Naim Hj Mokhtar (sekarang menteri di Jabatan Perdana Menteri), Prof Raihanah Abdullah (Universiti Malaya) dan Tuan Umar Mukhtar (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).

Geran EU yang sama juga telah digunakan oleh Suhakam untuk menjalankan kajian terhadap kesesuaian deklarasi dan triti hak asasi manusia antarabangsa yang utama dengan undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

Hasil kajian tersebut dikongsikan oleh Suhakam di sini.

Laporan tersebut menyenaraikan individu yang dilantik oleh Suhakam untuk menjalankan kajian berkenaan:

Kajian dan Analisis Mengenai Keserasian Undang-undang Sivil dan Syariah di Malaysia dengan Triti di bawah Pengkaji Kovenan Antarabangsa Mengenai Ekonomi (ICESCR)
Shanmuga Kanesalingam, Kanesalingam & Co

Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR)
Aishah Bidin, bekas pesuruhjaya Suhakam

Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED)
Prof Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, pensyarah UIAM

Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Kelaurga Mereka (ICMW)
Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, pensyarah UKM

Konvensyen Menentang Penyeksaan, Layanan Kejam, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah (UNCAT)
Edmund Bon Tai Soon, AmerBon Advocates

Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum(ICERD)
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pensyarah UUM

Perisytiharan PBB Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP)
Dr Izawati Wook, Pensyarah kanan USIM

Adakah semua individu yang dinyatakan terlibat dalam program dan kajian didanai melalui Geran EU sebelum ini oleh Suhakam turut terlibat dalam menyebarkan agenda Barat dan liberal sebagaimana dakwaan pertubuhan Muslim tersebut?

Kenapa sekarang timbul isu Geran EU dan tidak sebelumnya? Berfikirlah dan telitilah laporan-laporan yang dibuat secara adil.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan daripada laporan Suhakam sendiri, nilailah secara adil sama ada dakwaan terhadap Suhakam tersebut adalah benar atau sekadar propaganda bagi memesong isu sebenar dan melindungi individu tertentu.

Sejarah di mana-mana negara di dunia termasuk Malaysia mengajar kita terdapat pihak yang akan cuba mempergunakan agama untuk melindungi sebarang salahlaku atau penyelewengan.

Kita melihat ini berlaku dalam kes berkaitan 1MDB apabila segala dakwaan berkaitannya dituduh sebagai agenda orang bukan Islam terhadap pemimpin Islam dan sebagainya sehinggalah kes tersebut berjaya dibuktikan di mahkamah malah diperakui berlaku oleh mereka yang terlibat.  

Sebagaimana peringatan Allah dalam Surah Al-Hujurat, saya ingin mengingatkan supaya memeriksa dengan teliti berita yang dibawa orang fasik. – 27 Jun, 2023.

* Hamka pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen