Teguran suci dan jujur terhadap filem Buya Hamka


Naim Al-Kalantani

KEBIASANNYA, saya memang meminati filem-filem biopik, terutamanya dari Indonesia. Sebut saja Tjokroaminoto, Soekarno, Soe Hok Gie, Kiyai Ahmad Dahlan, Kartini, Rudy Habibie – semua ini saya telah tonton.

Baru-baru ini, ada satu lagi filem biopik ditayangkan mengenai tokoh penting Indonesia, iaitu Buya Hamka. Saya dan Hamka boleh dikatakan agak rapat.

Buku-bukunya terutama tulisan-tulisan romannya, saya baca dan minati. Apabila Indonesia mengumumkan tayangannya ketika lebaran 2023, saya memang menunggu untuk filem itu tiba ke Malaysia.

Banyak kali saya nyatakan, dan di sini saya mahu nyatakan sekali lagi, sesebuah filem biopik, perlu dan boleh ditonton terpisah dengan watak sebenar tokoh di alam realiti. Filem Buya Hamka gagal untuk memisahkan kedua-dua perkara ini.

Filem perlu ditonton dan dilihat sebagai sebuah filem, bukan sebuah biografi yang kering tanpa kreativiti. Permulaan (setup) Buya Hamka saya rasa sudah baik, tetapi apabila masuk kepada fasa perkembangan (confrontation), saya jadi keliru. Saya keliru bagaimana filem ini mahu ditonton.

Dalam sebuah filem, pada hujung fasa permulaanlah perlunya ada satu hook untuk masuk ke fasa perkembangan. Fasa ini merupakan segala-galanya. Lima belas minit pertama menjadi saat genting sama ada sesebuah filem itu berjaya atau tidak.

Lima belas minit ini perlu digilap sebersih-bersihnya bagi menjadikan penonton ada perasaan teruja meneruskan tontonan.

Tapi tidak dalam filem Buya Hamka ini. Tiada sebarang keterujaan untuk meneruskan tontonan selepas 15 minit pertama. Saya selaku penonton tidak tahu apakah matlamat watak.

Setahun saya mengaji di akademi seni dan mengambil kursus penulisan dan kritikan filem, tidak habis-habis pensyarah saya menekankan bahawa watak utama perlu ada satu matlamat yang besar – apakah yang ingin dicapainya?

Dek kerana saya pun lupa berapa puluh kali perlu mengubah sinopsis dan treatment lakon saya tulis semasa pengajian dulu, idea dan hasil didikan pensyarah tersebut menjadi pegangan sehingga sekarang.

Dan ternyata, ia membuahkan hasil. Semua filem yang saya tonton saya secara sedar dan tidak sedar memikirkan matlamat watak utama dan filem Buya Hamka tidak terlepas daripada penilaian sebegini.

Saya tak jumpa apakah matlamat Hamka dalam filem ini. Pengarah cuba menonjolkan sisi-sisi hebat Hamka. Pengarang novel roman, pengarang surat khabar, dan akhir sekali menjadi pengarang buku agama.

Dan lepas itu apa? Saya tak tahu apa yang mahu dibuat oleh Hamka dengan pertunjukan karangan-karangan itu.

Sarjana agung dalam penulisan filem, Syd Field menyatakan bahawa semua drama bermula daripada konflik. Tanpa konflik, tidak akan adanya aksi.

Watak Hamka dalam filem ini bagi saya tiada sebarang konflik. Apa yang dilawannya pun saya tidak tahu. Saya pun ragu-ragu adakah beliau berkonflik dengan dirinya sendiri.

Saya tidak dapat lihat konflik itu berlaku kerana cerita ini sangat melompat-lompat. Satu fragmen menunjukkan kebolehan Hamka, tiba-tiba ia berubah kepada cerita lain dan meninggalkan isu terdahulu. Ia seperti satu tempelan peristiwa yang dilalui oleh Hamka sahaja tanpa ada nilai sebuah filem biopik.

Dengan kata lain, cerita ini tiada plot. Sekali lagi saya persoalkan, apakah maksud plot? Plot ialah sebab-akibat (causality). Semua perbuatan dan dialog di dalam filem memerlukan plot. Mustahil satu cerita bergerak tanpa plot.

Tapi cerita Hamka ini umpama satu fragmen yang dipecah-pecahkan. Pengarah gagal untuk memberitahu sebab-akibat kenapa Hamka bertindak sedemikian. Terlalu banyak tindakannya dan hilang tiba-tiba tanpa penjelasan.

Ketika beliau mengarang, ada seorang wanita senantiasa bersamanya, isterinya Siti Raham. Orangnya cantik, lakonan hebat oleh Laudya Cynthia Bella.

Saya tak dapat ingat momen lain yang agung selain momen 13 kali Siti Raham menyediakan dan membawa air kepada Hamka. Saya tidak tahu di alam realiti adakah memang tugas seorang Siti Raham, isteri kepada ulama dan pengarang tersohor hanyalah menghidang air kepada suaminya?

Baiklah, jika benar sekalipun tugas Siti Raham hanya menyediakan air, dalam filem, sebenarnya watak itu boleh ditukarkan kepada perwatakan yang lebih baik dan tidak sama dengan alam realiti.

Lagi pesan seorang penggiat filem yang lain, gambaran watak perlulah logik untuk diselaraskan dengan alam realiti. Amat lucu bila kita lihat seorang isteri yang berkerudung 24 jam di dalam rumah. Saya kadang-kadang bersikap sinis apabila menonton semua babak Siti Raham.

Adakah ia agenda untuk menghapuskan sejarah yang ada menyatakan Siti Raham memang tidak bertudung di usia tuanya, jadi usia mudanya beliau memakai hijab?

Saya menolak juga dapatan itu. Isunya sekarang ialah akal sihat saya tidak mampu memahami bagaimana seorang isteri bertudung di dalam rumah yang hanya ada anak-anak dan suami.

Watak Hamka pula, dari mula sehingga tamat seperti tiada kecacatan langsung. Watak sebegini sangatlah tidak menarik. Sepatutnya watak itu sendiri perlu ada proses perkembangan watak, barulah penonton dapat menilai bagaimana proses watak itu menjadi matang.

Beza filem Buya Hamka dengan filem-filem yang saya sebutkan awal tadi ialah watak-watak utama di dalam filem tersebut sangat kuat dan matlamatnya. Sama ada Tjokroaminoto hinggalah ke Rudy Habibie, semua itu konfliknya jelas terserlah dipaparkan melalui visual.

Saya jujurnya tak tahu secara tuntas apakah yang telah dilakukan Hamka sepanjang usia mudanya. Tetapi saya dapat menebak, sebenarnya pengarah mahu menunjukkan ada banyak hal yang Hamka cuba buat. Dan itulah yang menjadi kesilapannya, mahu menunjukkan semua perkara dalam kisah hidup Hamka tanpa memaknainya dengan sebenarnya.

Dalam filem yang lain pun, saya tak tahu sama ada adegan yang ditunjukkan itu benar atau tidak. Suasana dan tragedi yang ditimpa adakah tepat.

Itu tidak penting apabila ia menjadi satu karya kreatif, yang penting adalah bagaimana watak utama menangani dan menjadi sebab-akibat daripada adegan tersebut.

Ada satu momen yang saya mahu untuk bersimpati. Adegan yang melibatkan kematian anak Hamka. Tapi sayangnya momen itu tidak digilap sepenuhnya oleh pengarah.

Tragedi kematian anaknya itu, jika mahu dibandingkan dengan ayah Rudy Habibie dalam filemnya, jauh beza bagai langit dengan bumi.

Puncanya hanya satu, pengarah Rudy Habibie, Hanung Bramantyo pandai mengawal pacing (rentak) momen sedih manakala Fajar Bustomi gagal mengetengahkan emosi ini.

Saya faham filem tersebut ada sekuel. Yang ditayangkan baru-baru ini hanya Volume 1. Saya tidak percaya yang filem itu lebih baik dalam Volume 2 dan 3.

Ia disebabkan sebuah filem yang dah siap, ia perlu ditonton dan dipersembahkan dengan cara sebuah filem tanpa memikirkan sekuel yang lain.

Filem ini sedap ditonton bagi orang yang nak tahu Hamka buat apa dalam hidupnya, tapi lambat lagi untuk jadi filem yang baik. – 22 Jun 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen