Langkah kerajaan batal hasrat hapus subsidi ayam, telur dapat pujian 


Angie Tan

TINDAKAN kerajaan membatalkan hasrat untuk menghapuskan subsidi dan kawalan harga ayam dan telur dialu-alukan oleh komuniti perniagaan dan orang ramai.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata kini bukan masa yang sesuai untuk menarik balik subsidi apabila rakyat cuba menghadapi kelembapan ekonomi dan tekanan inflasi.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada 8 Jun mengumumkan subsidi ayam dan telur tidak akan diteruskan selepas 30 Jun. Beliau berkata harga ayam dan telur akan diapungkan mulai 1 Julai.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas itu mengumumkan subsidi dan kawalan harga akan dikekalkan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dalam satu kenyataan bersama berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek serta memastikan industri ternakan terus mampan.

“Keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi dan mengawal harga ayam dan telur dibuat bagi memastikan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia Madani,” tambah kenyataan itu.

Hong berkata telur, ayam dan minyak masak adalah keperluan harian rakyat.

Beliau berkata dengan nilai ringgit yang terus merosot, sebarang keputusan untuk menghapuskan subsidi dan kawalan harga “akan menjadikan kehidupan rakyat sengsara”.

Pemansuhan subsidi akan mencetuskan tindak balas berantai yang memuncak dengan kenaikan harga ayam dan telur.

Hong berkata makanan ayam sebahagian besarnya diimport dan ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit, penternak ayam akan terdorong untuk menaikkan harga bagi menampung kos makanan yang diimport.

“Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan. Telur dan ayam mendapat permintaan tinggi dan digunakan dalam kebanyakan keperluan harian - ayam di restoran dan telur dalam pembuatan roti, kek dan biskut.”

Pengerusi Gabungan Persatuan Peniaga Selangor Tan Luan Huat juga senada dengan Hong dan berharap keputusan itu akan dilaksanakan walaupun selepas pilihan raya di enam negeri di semenanjung itu berakhir.

“Sama ada sekarang atau selepas pilihan raya negeri, saya berharap kerajaan akan terus mengekalkan subsidi untuk barangan keperluan ini.”

Tan berkata subsidi itu boleh membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat untuk makanan, khususnya minyak masak.

Ramai pengguna turut menyuarakan sokongan mereka di media sosial. 

Thean Yuen Ket, dalam satu catatan di media sosialnya, menyatakan minyak masak, ayam dan telur semuanya penting (kepada rakyat Malaysia) dan subsidinya “tidak boleh dibatalkan”.

Seorang lagi pengguna media sosial Kevin Tan, dalam catatannya menyatakan subsidi minyak masak, ayam, telur tidak boleh ditukar ganti dan memansuhkannya akan menjejaskan 99% rakyat.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Ameer Ali Mydin mengalu-alukan keputusan kerajaan meneruskan subsidi telur dan ayam tetapi berpendapat subsidi minyak masak perlu dihapuskan.

Beliau berkata terdapat “ketirisan besar-besaran” minyak masak. Dalam temu bual dengan Free Malaysia Today, Ameer berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menarik balik subsidi minyak masak kerana terdapat kelemahan dalam subsidi, sambil menambah penghapusan subsidi minyak masak akan memberi sedikit kesan kepada pengguna.

“Jika subsidi telur dihapuskan, telur akan naik sekurang-kurangnya 10 sen sebiji dan ayam juga akan naik sehingga RM1 hingga RM1.50 sen sekilogram, membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.” – 22 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen