5 pembekal jual ayam lebihi harga kawalan disiasat, kata exco Johor


Lima peruncit di Johor Bahru turut dikenakan kompaun kerana menjual ayam melebihi harga kawalan di peringkat runcit iaitu RM9.40 sekilogram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2023.

LIMA pembekal ayam di sekitar Tampoi, Johor Bahru dipercayai menjual ayam kepada peruncit melebihi harga kawalan sedang disiasat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka kertas siasatan termasuk meneliti invois jualan ayam kepada peruncit terlibat.

“Kita kesan perkara ini sejak tiga minggu lepas dan dipercayai ayam tersebut dijual melebihi harga kawalan iaitu RM8.10 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall Mutiara Rini di Iskandar Puteri, hari ini.

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya terdapat aduan ayam di negeri ini dijual melebihi harga kawalan.

Katanya selain itu, lima peruncit di Johor Bahru turut dikenakan kompaun kerana menjual ayam melebihi harga kawalan di peringkat runcit iaitu RM9.40 sekilogram.

Sementara itu Lee berkata kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan mengadakan Jualan Rahmah di kesemua 26 kawasan Parlimen pada Mei depan.

Beliau berkata inisiatif yang dijalankan di seluruh negara itu memanfaatkan rakyat dengan potongan harga barangan keperluan asas daripada 15 sehingga 20 peratus.

“Lokasi pasar raya dan kedai runcit terlibat akan sentiasa berubah dan Jualan Rahmah ini diadakan dua kali sebulan di setiap Parlimen,” katanya.

Berhubung bekalan ayam di Johor, beliau berkata setakat ini bekalan mencukupi dan seramai 200 penguat kuasa akan melakukan pemantauan sepanjang SHMMP dilancarkan di seluruh negara bermula semalam. – Bernama, 16 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen