Tanpa subsidi, harga ayam dianggar naik 11.9%, telur 35.6%, kata ahli akademik


JIKA kerajaan tidak mengekalkan pemberian subsidi ayam dan telur, harga ayam dianggarkan akan meningkat 11.9% dan telur naik kepada 35.6%, kata Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Elya Nabila Abdul Bahri.

Beliau berkata tanpa subsidi itu, harga ayam dijangka meningkat secara purata kepada RM11.65 sekilogram (kg) berbanding harga silling runcit ditetapkan iaitu RM9.40 sekg, manakala telur pula dijangka naik RM0.61 sebiji berbanding RM0.47 bagi gred A ketika ini.

”Anggaran tersebut boleh berlaku sekiranya pengeluar ingin mengekalkan margin keuntungan sebanyak 20% memandangkan kos sebiji telur menurut Jabatan Perangkaan Malaysia ialah RM0.58, yang telah melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Oleh itu, beliau berkata langkah kerajaan dalam mengekalkan pemberian subsidi itu dilihat satu langkah yang baik dan diperlukan untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup dalam jangka pendek serta mengekalkan kesejahteraan bersesuaian dengan prinsip Malaysia Madani.

“Subsidi ayam pada 1 November 2022 ialah 80 sen sekg dan telur 10 sen sebiji tanpa mengira gred,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata kerajaan membantu rakyat dengan pemberian subsidi terbabit dengan sejumlah RM200 juta sebulan untuk mengimbangi harga

“Tanpa subsidi makanan dan bahan api pasti rakyat Malaysia akan lebih tertekan dengan harga barangan yang sama lebih mahal berbanding negara-negara Asia Tenggara. Kerajaan juga perlu mempunyai stratergi pemberian subsidi bersasar kerana harga setiap barangan keperluan sukar dikekalkan kerana banyak faktor di luar kawalan termasuklah faktor global seperti harga minyak mentah dunia, krisis geopolitik dan sebagainya.

Oleh itu, kerajaan harus memperkemaskan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilihat sebagai usaha yang terbaik dalam menyelaraskan, mengutip dan memproses data yang tepat supaya langkah kerajaan dalam memberi subsidi bersasar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya 

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata kerajaan juga perlu melihat mekanisme jangka masa panjang yang lebih lestari dengan meningkatkan pengeluaran ayam dan telur tempatan bagi mengimbangi permintaan domestik semasa. 

“Selain itu, kos penternakan seperti dedak ayam perlu turut dipergiatkan pengeluarannya bagi menampung kenaikan ‘volume’ penternakan. Hal ini akan mengurangkan kos import dedak yang turut menyumbang kepada peningkatan harga ayam dan telur.

“Penternak juga boleh mempelbagaikan sumber pendapatan dengan memperbesarkan skala penternakan untuk mendapatkan margin keuntungan yang kompetitif,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan perlu meningkatkan kadar pengeluaran penternakan ayam bagi setiap penternak selain membentuk konsortium yang dilaksanakan dalam bentuk koperasi yang digagaskan oleh kerajaan bagi mencapai ekonomi skala untuk mengurangkan kos penternakan secara maksima. 

Sementara itu, peniaga murtabak di Datuk Keramat Azhari Md Saad, 48, berkata meskipun kerajaan telah menetapkan harga ayam mentah pada kadar RM9.40 per kg namun, ada sesetengah peniaga ayam yang menjual dengan harga sehingga mencecah RM10 untuk satu kg.

“Saya tidak dapat bayangkan kalau kerajaan tidak melaksanakan subsidi ini, mungkin harga akan melambung tinggi. Saya sebagai peniaga ini dapat harga khas tetapi untuk orang biasa (awam) ada peniaga yang jual dengan harga RM10 dan sampai RM11 pun ada,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau berkata bagi telur pula tiada perubahan harga tetapi produk tersebut turut mudah didapati berbanding sebelum ini.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini diteruskan mulai 1 Julai. – Bernama, 14 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen