BN masih diigau mimpi ngeri ditolak pengundi Melayu di Selangor


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin akar umbi Umno dan BN mengakui pengalaman ditolak orang Melayu dalam dua pilihan raya lalu masih menjadi igauan ngeri mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2023.

PENGALAMAN ditolak orang Melayu dalam dua pilihan raya umum lalu masih menjadi igauan pemimpin akar umbi Umno dan BN yang kini bersedia menghadapi pilihan raya di enam negeri.

Mereka mengakui pengalaman itu mengerikan kerana parti itu selama ini mendabik dada sebagai pendukung dan pembela orang Melayu.

Pemimpin akar umbi Umno ini mendedahkan kepada The Malaysian Insight, kekhuatiran itu bertambah apabila BN yang dianggotai Umno, MIC, dan MCA kini bekerjasama dengan PH.

Salah seorang pemimpin ini yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka berasa sukar menjelaskan kepada para penyokong mengenai kerjasama dengan Amanah, PKR, dan DAP.

Beliau yang khuatir dinamakan sebagai calon mewakili BN dalam PRN tersebut berkata kerjasama tersebut sukar dijelaskan kerana Amanah, PKR dan DAP musuh ketat Umno sejak puluhan tahun.

“Orang Umno di peringkat bawahan ini boleh terima tak kerjasama dengan DAP, mampukah Umno menang di kawasan Melayu?”

Malah, beliau juga melihat, langkah menentang calon daripada PAS di kawasan pengundi majoriti Melayu dalam pertandingan satu lawan satu tidak menjanjikan laluan mudah untuk Umno.

“Kawasan Melayu, Umno lawan dengan calon PAS, susah…(Pengundi) orang tua (susah) mahu terima DAP, kalau orang muda yang ada jawatan (berpendidikan) mungkin boleh terima.

“Tetapi waktu itu pun orang muda pun tidak mengundi BN,” katanya yang enggan namanya disebut.

The Malaysian Insight difahamkan Umno mendapat 12 kerusi untuk ditandingi daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Turut difahamkan, pembahagian berkenaan melibatkan satu kerusi DUN bagi setiap kerusi Parlimen, menjadikan BN bertanding di 12 daripada 22 kawasan Parlimen Selangor.

Selain lima kerusi disandang mereka, BN juga dapat bertanding kerusi Jeram dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor yang kini disandang wakil parti Pejuang Mohd Shaid Rosli.

Selain itu BN juga akan bertanding kerusi Sungai Air Tawar dalam Parlimen Sabak Bernam, Sungai Panjang (Sungai Besar), Hulu Bernam (Hulu Selangor) dan Sungai Burung (Tanjong Karang).

Beliau juga menyebut kerusi Semenyih (Hulu Langat), antara lima kerusi DUN yang disandang mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sumber bagaimanapun enggan mendedahkan baki enam lagi DUN yang akan ditandingi kerana belum dimaklumkan secara rasmi dalam parti.

“Saya dimaklumkan begitu tapi belum dimaklumkan dalam mesyuarat secara rasmi. Sudah pasti tumpuan kita akan tertumpu lima kerusi utama di dalam kawasan Utara Selangor,“katanya.

Ketua Pemuda Umno Selangor Mohd Imran Tamrin pula berkata, walaupun trend keputusan PRU15 lalu tidak memihak kepada BN dan Umno, ia tidak mematahkan jentera parti dalam menghadapi PRN.

“Walaupun kalau tengok trend PRU15, lima kerusi kita menang di Selangor (dalam PRU14) itu kita kalah semua.

“Tapi itu tak menjadikan sebab jentera BN berputus asa – Ia akan menjadi satu semangat dan sebab untuk semua jentera BN bekerja keras pada PRN untuk menangkan semua kerusi ditandingi BN.

“Dan di mana tempat BN tak bertanding semua jentera dan kepimpinan BN akan pastikan kemenangan PH di semua kerusi PH bertanding,” kata Mohd Imran.

BN gagal meraih sebarang kerusi Parlimen dalam PRU15 di Selangor, manakala Perikatan Nasional (PN) pula sebaliknya berjaya menang enam kawasan Parlimen ketika itu.

Trend pengundian orang Melayu yang digelar gelombang hijau ketika itu berpihak kepada gabungan tersebut.

Bagi PH pula, gabungan itu berjaya mempertahankan 16 kerusi Parlimen mereka, namun hilang empat kerusi kepada PN.

PN menguasai kawasan jajaran pengundi Melayu di utara Selangor seperti Sabak Bernam dan Tanjong Karang serta di Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kapar.

Kejayaan itu memberi semangat kepada PN untuk merampas 33 kerusi dengan majoriti lebih 60%  pengundi Melayu di Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Imran berkata beliau percaya akar umbi partinya sudah mengenalpasti kelemahan mereka ketika PRU15 lalu dan akan menghadapi PRN dalam keadaan lebih baik.

“Saya percaya parti, khususnya di kawasan dan bahagian telah menilai dan mengadakan post mortem berkenaan apa yang dihadapi pada PRU15 lepas.

“Kita percaya dalam PRN kali ini peringkat bahagian akan tambah baik apa yang berlaku pada PRU15 dan perkemas gerak kerja jentera,” katanya.

Parti itu juga akan menumpukan pengundi pengundi semaksimum mungkin untuk mengundi BN dan PH dalam semangat kerajaan perpaduan di Selangor,” katanya.

Beliau juga menyerahkan kepada pemimpin parti sama ada akan terus meletakkan beliau sebagai calon dan kekal bertanding di DUN Sungai Panjang.

“Calon BN dan PH akan muktamadkan dalam masa terdekat, untuk saya sendiri, ialah kita tak boleh bagi kepastian sama ada akan dicalon semula atau tidak.

“Cuma kalau tanya saya, saya sedia kalau parti berikan kepercayaan mencalonkan saya semula,” katanya.

Beliau juga akur trend yang dilihat dalam PRU15 memberikan panduan kepada BN untuk memastikan keputusan sama tidak berulang dalam PRN kali ini.

“Namun yang paling penting pada PRN ini untuk kita bina kebersamaan dan juga kesepaduan, tekad, bersama, dalam memastikan pada PRN.

“Selepas pilihan raya nanti kita akan dapat membentuk kerajaan perpaduan di Selangor bersama-sama BN dan PH ,” kata Mohd Imran lagi.

Selain Selangor, PRN juga akan berlangsung di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan yang dijangka berlangsung pada Ogos.

Semua negeri berkenaan juga dijangka membubarkan DUN masing-masing pada bulan ini. – 20 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen