Hadi tak habis-habis berbohong, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berterusan mendakwa peratusan Melayu keluar mengundi pada PRU15 rendah dan PH berjaya bentuk kerajaan kerana undi bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac 2023.

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng hari ini menyelar Abdul Hadi Awang atas kempen sabotaj yang sistematik untuk menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut membidas dakwaan Hadi bahawa Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan hanya dengan memenangi undi bukan Islam. Malah Hadi yang juga ahli Parlimen Marang memberi amaran negara ini akan dikuasai golongan bukan Islam sekiranya orang Melayu tiada kesedaran politik.

“Hadi memetik sebagai bukti peratusan keluar mengundi pengundi Islam sebanyak 68% berbanding dengan peratusan keluar mengundi bukan Islam sebanyak 98%. 

“Ini adalah palsu dan mesti didedahkan sebagai pembohongan. Peratusan keseluruhan sebenar untuk pilihan raya ialah 74%. Penyelidik Bridget Welsh telah menyanggah Hadi dengan menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai peratusan keluar mengundi terbaik dalam kalangan semua kaum pada 79%,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu mengulas ucapan Hadi pada satu program dialog di Kuala Lumpur malam tadi, yang berkata kedudukan politik sangat penting bagi orang Melayu di Malaysia, dan kesedaran politik yang rendah akan menyebabkan negara ini dikawal oleh orang bukan Islam.

Hadi juga meramalkan kerajaan yang diterajui Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

Lim selain itu menyangkal dakwaan Hadi bahawa kerajaan perpaduan adalah kerajaan bukan Islam.

“Hadi sekali lagi berbohong dengan menyatakan kerajaan perpaduan adalah kerajaan bukan Islam. Daripada 148 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan, lebih separuh atau 77 adalah ahli Parlimen Islam, menepis naratif palsu bahawa kerajaan perpaduan dikuasai oleh ahli Parlimen bukan Islam.

“77 Ahli Parlimen Muslim dalam kerajaan perpaduan berbeza dengan 72 daripada 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang beragama Islam. Dalam erti kata lain, lebih ramai ahli parlimen Muslim dalam kerajaan perpaduan berbanding pembangkang Perikatan Nasional. 

“Namun Hadi meneruskan naratif untuk menonjolkan sentimen pelampau bagi mengurung undi Muslim tanpa mengambil kira orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu juga menegaskan Malaysia milik semua rakyat termasuk Muslim dan dan bukan Islam. 

“Usaha Hadi untuk terus menyisihkan orang bukan Islam bukan sahaja salah tetapi juga menentang titah Yang Dipertuan Agong supaya menghormati kepelbagaian dan toleransi dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.” – 1 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen