Amarah Melayu pada BN lebih besar daripada retorik kaum, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Fenomena tsunami Melayu dalam PRU15 sebaliknya penolakan atau pengalihan pengundi Melayu yang dulunya menyokong Umno dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

KEMPEN dengan retorik kaum dan agama bukan faktor utama yang mengalihkan sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight, jika retorik kaum dan agama menjadi faktor utama sudah tentu PAS sudah lama menang dalam PRU terdahulu.

“Ia boleh pengaruh tapi bukan semata-mata faktor itu sahaja. Sebab secara asasnya sentimen pengundi Melayu pada PRU15 mereka nak parti yang terasnya memperjuangkan Melayu Islam.

“Kalau tak sebut dalam kempen pun, pengundi Melayu akan pilih juga parti begitu.

“Faktor memainkan retorik kaum dan agama sebenarnya isu yang dah lama, kalau bergantung pada itu sahaja PAS dah lama menang,” kata pengkaji Universiti Teknologi Malaysia ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berpendapat fenomena tsunami Melayu dalam PRU15 sebaliknya penolakan atau pengalihan pengundi Melayu yang dulunya menyokong Umno dan BN.

Ujarnya kemarahan pengundi Melayu ini disebabkan mereka melihat Umno dan BN masih lagi terpalit dengan isu integriti.

“Gelombang ini kerana pengundi Melayu bertindak balas kepada PN disebabkan salah satu sebab utama marah kepada Umno dan BN.

“Ia kerana isu integriti, kemudian perbuatan orang Umno terlibat salah guna kuasa rasuah, seperti presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka tengok yang mana terlibat dengan kes mahkamah juga jadi calon dalam PRU15. Jadi orang Melayu ini bertindak balas, bukan semata-mata kerana main isu retorik kaum. Tidak.”

Menurut Mazlan, jika retorik kaum dan agama menjadi faktor utama, tentu PAS sudah lama menang dalam PRU terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

PN membentuk gelombang tsunami Melayu apabila menang besar di negeri majoriti Melayu  Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang dalam PRU15, kebanyakannya melalui PAS.

PN menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu manakala di Kedah, gabungan itu menang 13 dari 14 kerusi.

Di Pahang pula, PN menang 7 kerusi Parlimen dan dan 17 kerusi DUN dan di Perak pula, gabungan itu menang 10 kerusi kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN.

Ia membolehkan PAS menguasai 22 kerusi Parlimen sebagai parti tunggal, paling banyak berbanding parti lain.

Tambah Mazlan, jumlah pemilih muda yang keluar mengundi juga faktor besar yang menyumbang kepada kemenangan PN.

“Pertambahan pengundi muda ini sangat banyak. Dan kita kena akui kehebatan PN menggunakan ruang media sosial untuk menarik sokongan golongan.

“Sebenarnya kita sudah meramalkan dalam kajian kita kerana nampak pengaruh besar PN dalam media sosial,”  katanya.

Penganalisis Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi juga melihat kempen yang memainkan retorik kaum hanya berkesan bagi pengundi Melayu luar bandar dan bukan Melayu bandar.

Penganalisis berkata ini dapat dilihat dalam keputusan PRU15 yang menunjukkan PN dan PH berjaya mengurangkan undi Melayu terhadap BN.

“BN tunjuk mereka lebih sederhana mengenai isu Melayu dalam kempen mereka,” katanya.

Tambahnya, BN sebaliknya menekankan bantuan pendapatan asas seperti mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) fasa empat pada Selasa lepas.

“Namun ia tidak membantu dan undi Melayu BN dikurangkan oleh PN dan PH,” katanya.

PN bentuk gelombang tsunami Melayu apabila menang besar di negeri majoriti Melayu dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2022.

Seorang lagi penganalisis Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar juga senada dan berpendapat kempen BN tidak bermaya biarpun parti itu memaksa PRU15 diadakan lebih awal.

Beliau berkata ia berbeza dengan PH dan PN yang lebih aktif dalam berkempen di lapangan dan dunia maya.

“Kedua-dua parti ini berkempen atas platform antirasuah, dengan PH lebih ke arah tadbir urus yang baik dan PN ke arah kerajaan berteraskan Melayu Islam,” katanya.

Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu melihat, kempen menggunakan retorik kaum dan agama biarpun kelihatan dangkal namun dapat mengalih undi golongan atas pagar.

“Golongan atas pagar yang tidak mempunyai maklumat tepat akan mempercayai. Walau apa pun kempen sebegini amat bahaya kepada keharmonian negara,” katanya.

Polis mengesan bahan provokasi kaum dan agama semakin tersebar meluas di media sosial sejak tempoh kempen PRU15.

Antara aduan yang dilaporkan melibatkan personaliti dan tokoh yang berkempen bagi PN, seperti penyanyi Jamal Abdillah dan pelakon Zul Huzaimy.

Jamal kemudian mengaku membuat kenyataan tanpa pengetahuan politik apabila menerima kritikan ekoran dakwaannya azan tidak lagi berkumandang selepas DAP mentadbir Pulau Pinang.

Zul Huzaimy pula menerima kecaman meluas selepas mengancam akan menyembelih golongan kafir.

Terdapat juga laporan mengenai kempen PN yang menimbulkan maklumat salah mengenai pentadbiran Tabung Haji.

Turut mengundang kritikan, video ucapan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang mendakwa pengundi BN dan PH akan masuk neraka.

Di saat akhir kempen pula tersebar kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mendakwa PH menaja gerakan Yahudi dan agenda Kristianisasi dalam negara. – 23 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen