Membaca tindak tanduk politik Khairy Jamaluddin


Mohd Azizi Jaeh

Setelah dipecat daripada Umno pada 27 Januari lalu, Khairy Jamaluddin yang kini berada di luar parti dapat guna sepenuhnya persekitaran yang bebas untuk menentukan haluan politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2023.

KHAIRY Jamaluddin merupakan aktor yang tidak asing dalam pentas demokrasi Malaysia. Bekas ketua Pemuda Umno ini boleh dikira sebagai pemain politik yang kadangkala menongkah naratif Umno.

Penonjolannya dalam mengkritik Umno dan membenarkan pandangan pembangkang mencetuskan tentangan kuat dalam parti.  

Setelah dipecat daripada Umno pada 27 Januari lalu, Khairy yang kini berada di luar parti dapat menggunakan sepenuhnya persekitaran yang bebas untuk menentukan haluan politiknya.

Namun, beliau mungkin menyedari usaha melakukan comeback dalam politik perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati.

Tidak hairan darah Umno yang mengalir pada batang tubuh Khairy menampakkan beliau bukan seorang yang radikal.

Jauh sekali ingin mencetuskan penentangan yang berskala besar bagi menumbangkan kepimpinan Presiden Umno dengan menghimpunkan pengikut dan pimpinan yang dipecat dan digantung.

Asuhan yang diterimanya melalui Umno memugkinkannya bersikap patuh, tertib serta masih mengikut aturan pemimpin Melayu.

Namun tidak dinafikan Khairy tidak disenangi golongan konservatif dalam Umno kerana beberapa pendirian politiknya dilihat agak liberal.

Pada satu segi, sokongannya terhadap Najib Razak sehingga PRU ke-14 melahirkan kekesalannya kerana tidak berterus terang dari awal tentang penolakan besar akar umbi terhadap parti itu.

Dalam hubungan ini, Khairy dipandang sebagai seorang yang mengambil tindakan selamat dan bukan seorang pejuang sejati. Ini antara sebab beliau dikatakan belum benar-benar teruji kerana tidak sanggup mengambil risiko besar untuk melawan.

Pengajaran penting dalam kembara yang dilalui ini ialah perubahan politik pada Khairy yang harus dilakukan.

Bagi pengkritik, tindakan Khairy mengkritik selepas sahaja Umno tewas sudah terlambat.

Jika dibandingkan, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal lebih berani berkonfrontasi secara terbuka sehingga berdepan pemecatan sebelum Umno kalah PRU14.

Sekarang bekas ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal ini memerlukan alur perjalanan yang lancar dan masa yang paling sesuai untuk mengatur kemaraannya – beliau tidak boleh lagi tersalah perhitungan.

Mungkin juga ini satu tactical move untuk meletakkan dirinya sentiasa diingati oleh khalayak.

Langkah memasarkan diri melalui platform penyiaran membolehkannya berkomunikasi secara dekat di kalangan pendengar radio.

Dengan bertindak selaku penyampai radio atau DJ Hot FM, perbincangan akan terus tertumpu kepada teka-teki pilihan politiknya selepas ini –sama ada untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) atau menubuhkan sebuah parti baharu.

Meskipun beliau melahirkan rasa keterujaan dan kegemparan di kalangan ahli parti sepanjang lebih 20 tahun berada dalam, Khairy juga diingatkan berhubung kegagalannya.

Beliau gagal memikat pengundi muda dalam PRU14. Hal ini membangkitkan persoalan berkenaan sentuhan dan keupayaannya dalam membawa Umno mara ke depan atau mundur ke belakang.

Di penghujung penglibatannya dalam Umno, Khairy meninggalkan parti dengan hadiah kekalahan di kerusi Sungai Buloh – kerusi separa bandar di Lembah Klang dengan majoriti pengundi Melayu yang signifikan.

Begitu pun, penulis tidak bermaksud kekalahan Khairy atas faktor individu semata-mata. Indikator kemenangan dan kekalahan juga boleh diukur berdasarkan penerimaan dan penolakan terhadap sesuatu parti serta banyak lagi faktor lain – Umno parti utama yang menurun graf sokongannya pada PRU15.

Spekulasi berhubung langkah Khairy seterusnya masih kuat, apatah lagi bakal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Ia membuka peluang untuknya menyerlah.

Tetapi antara beban besarnya ialah pendirian Khairy yang masih sayangkan Umno.

Ini dinyatakannya sendiri dalam program podcast “Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama rakan sealirannya Shahril Hamdan – bekas naib ketua Pemuda Umno yang digantung dari parti.

“Keluar Sekejap” merupakan program bual bicara yang dibangunkan bertujuan menjadi suara pengimbang bagi isu berkaitan politik semasa.

Justeru, tindak-tanduk Khairy dianggap mampu membina bulatan berpengaruh dalam kalangan generasi muda dan pengundi atas pagar dalam mengangkat wacana politik yang lebih konstruktif.

Umno kini sukar mencari tenaga muda seperti Khairy yang boleh mencetuskan budaya debat dan pernah menjadi fenomena buat berapa ketika.

Khairy pernah mematahkan hujah Anwar Ibrahim di Parlimen dengan agak baik berhubung pengaruh neokonservatif Amerika dalam soal pelantikan konsultan kerajaan ketika pentadbiran Najib Razak.

Kecenderungan terhadap idealisme dan pemikiran politik membantunya membina nama sebagai ahli politik yang mampu mempertahankan dasar-polisi kerajaan dengan agak ilmiah.

Beliau sedia turun berdebat dengan Rafizi Ramli, Husam Musa dan Ambiga Sreevanasan (tokoh pembangkang pada waktu itu).

Ia menandakan Umno pernah menggantungkan kepercayaan besar terhadapnya sebagai benteng parti sekali gus menjadi daya tarik kepada masyarakat berbilang budaya.

Mungkin agak keterlaluan, tetapi Khairy yang disifatkan pemimpin masa depan Malaysia boleh dianggap sebagai sparring partner paling dekat kepada Anwar dari sudut orator pada waktu ini.

Atau ada pemimpin utama yang lain mencapai tingkat yang sama?

Apa yang menarik, Khairy kini berada di tengah-tengah gelanggang politik dan garis parti – tidak di sebelah jalur kiri dan tidak di sebelah haluan kanan.

Namun apabila tersebarnya gambar mesyuarat PMX dengan Khairy di Kementerian Kewangan pada hujung minggu lalu, ia menimbulkan persoalan penting.

Adakah Khairy akan diberikan peranan khas sebagai pembuat dasar yang bebas yakni tidak mewakili mana-mana parti dalam kerajaan?

Ia mungkin satu langkah pencegahan rintang untuk mengelakkannya bekerjasama dengan PN.

Atau adakah Khairy bakal memilih tawaran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam misi PN menawan Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN nanti.

Sesungguhnya pengembaraan politik Khairy masih panjang dan masih belum teruji ketahanannya – sama ada benar-benar pemimpin tahan lasak atau setakat dibingkaikan sebagai tokoh cause celebre atau hanya menimbulkan kontroversi. – 20 Jun, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen