LHDN nafi langkah politik di sebalik siasatan ke atas Hamzah


Lembaga Hasil Dalam Negeri menyatakan siasatan terhadap Hamzah Zainuddin dilakukan secara profesional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2023.

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyatakan siasatan terhadap Hamzah Zainuddin dilakukan secara profesional tanpa sebarang motif politik.

Dalam satu kenyataan ia menjelaskan pemeriksaan ke atas premis kediaman pembayar cukai adalah aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi dalam kes penyiasatan cukai, bukannya menyasarkan pihak tertentu.

“Pemeriksaan di premis termasuk premis kediaman adalah sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan. Tindakan itu juga sebagai bentuk khidmat kepada rakyat yang menunaikan tanggungjawab cukai secara konsisten.

“Pemeriksaan tidak menyasarkan golongan tertentu, sebaliknya dilakukan kepada semua pembayar cukai yang disiasat berhubung kes percukaian. Komitmen kami tetap sama, kami akan menjalankan tugas mengikut perundangan percukaian yang berkuat kuasa.

“Penguatkuasaan dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan LHDN perlu terus bebas daripada sebarang pengaruh,” kata LHDN seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Baru-baru ini dilaporkan Hamzah, bekas Menteri Dalam Negeri diserbu rumahnya oleh pegawai LHDN.

Serbuan dibuat berikutan dakwaan duti pendapatan yang tidak diisytiharkan.

Memetik sumber, ia berkata Hamzah berada di rumah semasa serbuan itu, yang mana fail dan dokumen mengenai akaun dan pemilikan aset dirampas.

Laporan itu berkata LHDN tidak menyatakan punca serbuan itu.

Bagaimanapun Hamzah menafikan rumahnya di Damansara diserbu oleh pegawai LHDN pada Khamis.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan berita itu sebagai fitnah berniat jahat terhadapnya dan memberi amaran beliau akan bertindak terhadap mereka, termasuk dengan membuat laporan polis.

“‘Serbuan… apa yang mereka maksudkan dengannya? Terdapat banyak fitnah terhadap saya, tetapi saya biasanya tidak menghiraukan mereka.

“Hari ini saya dimaklumkan mengenai lebih banyak fitnah terhadap saya. Saya sebenarnya sudah merangka laporan polis, tetapi saya akan simpan sehingga masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya negeri PN di Marang, Terengganu. – 18 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen