Mahkamah Tinggi tolak permohonan tuntut balas Shafee terhadap LHDN


Muhammad Shafee Abdullah adalah peguam utama Najib dalam beberapa pertuduhan rasuah yang sedang berlangsung melibatkan 1Malaysia 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung saman terhadapnya bagi mendapatkan semula RM9.4 juta cukai yang didakwa tidak dibayar melebihi lima tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menolak permohonan itu dengan alasan Shafee tidak berhak memfailkan tuntutan balas terhadap kerajaan.

“Shafee dalam hujahnya mendakwa LHDN mempunyai niat jahat dalam saman terhadapnya.

“Beliau mendakwa ia serangan terhadapnya kerana mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Tuntutan balas Shafee adalah terhadap beberapa entiti kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Entiti tersebut tidak terlibat dalam saman ini… sebarang rasa tidak puas hati terhadap mereka boleh dibawa ke tempat lain,” katanya dalam penghakimannya.

Beliau berkata Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) adalah forum yang sesuai untuk mengetengahkan  dakwaan yang SPRM dan AGC membuat pengiraan cukai RM9.41 yang berniat jahat terhadapnya.

Beliau juga mengarahkan kos RM5,000 dibayar oleh Shafee, dan menetapkan 22 Julai untuk mendengar permohonan pihak berkuasa cukai untuk penghakiman ringkas terhadap Shafee bagi mendapatkan semula RM9.41 juta itu.

Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021, dengan berkaitan tuntutan cukai itu adalah serangan ke atasnya atas kapasiti sebagai peguam Najib dan dianggap sebagai peguam Umno walaupun bukan peguam parti.

Lembaga itu memfailkan saman terhadap Shafee pada 6 Mei 2021, mendakwa peguam kanan itu tidak menjelaskan bayaran tunggakan cukai taksiran selama lima tahun dari 2011 hingga 2016, berjumlah RM9,411,708.32 cukai belum dibayar.

Shafee adalah peguam utama Najib dalam beberapa pertuduhan rasuah yang sedang berlangsung melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shafee diwakili peguam Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee, manakala peguam kanan persekutuan Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghaus mewakili LHDN. – 13 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen