Polis Johor terima 2 laporan berkaitan Jocelyn Chia


POLIS Johor menerima dua laporan berhubung pelawak Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia dan mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504/ 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) dibuat semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu bagi membantu siasatan.

“Polis Kontinjen Johor komited dalam menjalankan siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak memainkan isu ini yang mana boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kamarul Zaman turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berkaitan perkara itu dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182 323 atau Pegawai Penyiasat kes ASP Kamal Halimah Rani di talian 019-4346 858. – Bernama, 14 Jun 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen