SINGAPURA memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan tindakan pelawak dari negara itu, Jocelyn Chia, yang memperlekeh dan mempersenda tragedi kehilangan pesawat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 2014 semasa membuat persembahan di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dalam klip video sepanjang 89 saat, Chia yang ketika itu membuat persembahan di Comedy Cellar di New York juga berkata Singapura kini sudah bertaraf negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu, sedangkan Malaysia masih lagi membangun.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dalam satu kenyataan berkata beliau begitu terkejut dengan komen melampau Chia itu.
“Kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetuskan kemudaratan atau mengguris perasaan orang lain.
“Chia bukan lagi warga Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara kami.
“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kenyataannya yang menyinggung perasaan dan mengguris hati,” katanya.
Tambahnya, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh di pelbagai peringkat.
“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.
“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” kata Vanu Gopala.
Dalam persembahan komediri ‘Singapore vs Malaysia’, Chia berkata pembangunan Malaysia jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Singapura yang lebih kecil.
“Selepas mendapat kemerdekaan daripada British, kami (Singapura) hanya negara kecil.
“Selepas 40 tahun, kami jadi negara dunia pertama. Malaysia, kamu pula? Masih negara membangun,” selorohnya.
Lebih teruk lagi lagi apabila wanita itu berseloroh Malaysia tidak melawat Singapura selepas 40 tahun berpisah kerana pesawat Malaysia tidak boleh terbang.
Jenakanya itu merujuk kepada pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Sementara itu, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan malam tadi mengecam tindakan Chia itu, yang menurutnya secara jelas memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi yang pernah melanda negara.
Tindakan Chia katanya langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi.
“Video ini juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila.
“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara, apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” kata Zambry.
Sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini perlu dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara, tambah beliau. – 8 Jun 2023.
Komen