Pakatan rahsiakan calon untuk elak dirasuah, kata Dr Mahathir


Radzi Razak

Dr Mahathir Mohamad berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada siri Jelajah Pakatan Harapan di Felda Sungai Tengi, Selangor, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) masih tidak mendedahkan calon pilihan raya mereka untuk mengelak daripada dirasuah agar tidak bertanding kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendakwa taktik kotor sebegitu merupakan sebahagian daripada cara terdesak Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya mengamalkan rasuah besar-besaran bagi “mencuri pilihan raya” dan mengekalkan kuasa.

“Kita tahu kalau namakan calon hari ini orang Najib akan tawarkan berjuta-juta dan berbilion ringgit supaya dia tak datang daftar (menjadi calon).

“Ini salah satu cara dia nak curi (pilihan raya),” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada siri Jelajah PH di Felda Sungai Tengi semalam.

Beliau mengulas satu rencana majalah berpengaruh The Economist berhubung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan dakwaan korupsi yang menyelubungi pentadbiran Najib dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majalah itu mendakwa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpihak kepada BN dan memanipulasikan daftar pemilih atau membenarkan gerimander parti menjelang PRU14.

Malaysia menerusi pesuruhjaya tingginya Ahmad Rasidi Hazizi membantah rencana berkenaan kerana “mengandungi kesilapan besar dan dipenuhi dengan pemikiran angkuh penjajah, memperlekeh perdana menteri kami, kerajaan, polis, kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, media malah pengundi kami”.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu turut berkata, taktik kotor lain yang digunakan ialah pemberian hadiah dan cabutan bertuah kepada penduduk kawasan yang beliau lawati.

“Ini ada cabutan bertuah. Ada dapat rumah, ada dapat motosikal, dapat motokar. Semua ini sedang diberi di merata-rata tempat,” katanya.

“Satu daripada tabiat Najib bila saya datang merata tempat, dia hantar orang dia tawarkan hadiah ini. Kononnya nak tutup pengaruh saya. Tapi orang cakap lagi saya datang, lagi banyak hadiah dan dia kata kat saya, datanglah lagi,” kata beliau.

Presiden Amanah Mohamad Sabu turut berucap pada siri Jelajah Pakatan Harapan di Felda Sungai Tengi, Selangor, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Mac, 2018.

PH, dalam apa yang dikatakan mereka sebagai peluang paling cerah menewaskan BN pada PRU depan memerlukan sokongan tinggi daripada pengundi luar bandar terutamanya daripada Felda.

Dr Mahathir dan pemimpin PH lainnya sudahpun memberi ceramah di beberapa Felda di Pahang, Selangor dan Johor termasuk di Felda Chini, Pekan di tempat Najib sendiri.

Mesej yang diutarakan Dr Mahathir dan PH lain dengan jelas adalah Umno pada zaman ini adalah amat berbeza dengan parti yang telahpun membantu penduduk Felda sebelum ini.

“Umno dah tak ada dah. Umno dah wafat. Yang saya tinggal(kan) tu bukan Umno itu parti Najib.

“Saya tak percaya orang Felda akan kekalkan penyangak (Najib) ini. Saya yakin orang Felda akan tolak BN,” kata beliau.

Seorang lagi penceramah, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata taktik PH menampilkan Dr Mahathir amat penting kerana penduduk Felda akan berminat untuk hadir.

“Orang Felda ni, Mereka kenal dua pemimpin Melayu utama. Tun Razak dan Tun Mahathir.

“Bila Dr Mahathir jadi pembangkang mereka terpinga-pinga. Datang nak dengar apa Dr Mahathir cakap,” kata beliau. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tak perlu guna nama PM Najib untuk tutup kelemahan diri sendiri. Kalau Tun M boleh senaraikan taktir kotor untuk pancing seseorang tu tarik diri daripada bertanding, tu bermakna Tun M pun pernah buat perkara yang sama dulu. Kalau calon tu ada intergriti, walau disuap pun dengan pelbagai cara pun, dia tetap tidak akan terima rasuah. Jadi stop la buruk-burukkan orang lain demi nak menutup kelemahan diri sendiri.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan