Polemik perbahasan LKAN dan reformasi Parlimen


Fakhrurrazi Rashid

Parlimen Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk menyempurnakan reformasinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

BUAT julung kalinya, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibahaskan di Dewan Rakyat. Ia adalah sebahagian usaha daripada parlimen membahas isu pengurusan kewangan bagi setiap kementerian dan agensinya serta pengurusan di peringkat negeri. Di sinilah akauntabiliti itu berlaku dalam menyemak ketelusan kerajaan. 

Bagi yang tidak biasa dengan LKAN, ia merupakan sebuah dokumen yang mengandungi penilaian terhadap sesebuah badan dengan melihat kepada penyata kewangan, prestasi, dan pengurusan untuk memastikan tata kelolanya menepati keperluan undang-undang.

Kuasa menjalankan audit ini termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan di bawah Akta Audit 1957 (Akta 62). Dalam konteks melihat LKAN ini bebas daripada pengaruh eksekutif, badan audit ini bertanggungjawab terus kepada Yang Di-Pertuan Agong.

LKAN melibatkan semua kementerian, kerajaan negeri, 96 jabatan persekutuan, 120 penyata kewangan dan 12 Kumpulan Wang Badan Berkanun Persekutuan, 124 badan berkanun negeri, 144 kerajaan tempatan, 15 majlis agama Islam, Kumpulan Wang Amanah, Akaun Amanah serta hampir 496 syarikat yang dimiliki kerajaan dengan 50% atau lebih ekuiti.

Setiap kali LKAN dibentangkan di parlimen, kerajaan persekutuan dan mana-mana organisasi akan tertekan jika terdapat teguran atas kelemahan pengurusan yang menyebabkan ketirisan berlaku.

Ringkasnya, LKAN adalah kad laporan sebenar buat setiap kerajaan dan badan yang berkaitan dengannya. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap isu yang dibangikitkan dalam LKAN.

Kerugian pembangkang

Advokasi membahaskan LKAN ini sudah diusahakan hampir 10 tahun yang lalu. Ini kerana LKAN yang beratus-ratus muka surat itu hanya diletakkan di atas meja ahli Parlimen tanpa dibahaskan ahli Parlimen. Amalan ini langsung tidak memberi ruang kepada wakil rakyat memberi cadangan dan membahaskan isu LKAN ini. 

Perbahasan LKAN tempoh hari adalah pembaharuan yang sepatutnya disambut baik ahli Parlimen, khususnya pembangkang. Polemik pembangkang untuk menolak perbahasan LKAN itu adalah satu kerugian. Ia menonjolkan lagi kegelisahan pembangkang untuk melihat prestasi sewaktu menjadi kerajaan pada 2021.

Sekiranya pembangkang terbuka, sudah pasti peluang untuk mengkritik prestasi kerajaan perpaduan menerusi LKAN 2023 yang bakal dibentangkan pada tahun yang akan datang. Adakah pembangkang juga menolak perbahasan LKAN 2023 nanti? Jika pembangkang memilih untuk membahaskan LKAN 2023 ini, maka terserlah politik selektif blok Perikatan Nasional (PN) yang memakan diri.

Dari sudut yang berbeza, pembawaan ahli Parlimen backbencher kerajaan yang menggunakan perbahasan LKAN 2021 memprovokasi pembangkang dengan kesilapan lampau adalah satu tindakan yang kurang cermat.

Kumpulan ini harus sedar LKAN 2023 yang melaporkan prestasi kerajaan perpaduan juga akan dibahaskan nanti.

Maka, apakah backbencher bersedia menjawab kritikan pembangkang atau sekadar mengucapkan “tahniah” membuta tuli kepada kerajaan perpaduan meskipun prestasinya teruk?

Jangan perlekehkan

Selain perbahasan LKAN, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) Johari Abdul juga mengumumkan penambahbaikan sistem jawatankuasa pilihan khas (JPK) dalam menjalankan peranan semak dan imbang terhadap ketelusan kerajaan.

Antara perluasan fungsi JPK itu adalah boleh menyiasat dan menjalankan kajian berdasarkan peranan yang telah diberikan tanpa dirujuk menteri dan JPK boleh menjalankan semakan untuk semua kementerian. YPDR juga boleh membuat keputusan jika terdapat pertikaian tentang saksi dipanggil kepada JPK.

Perubahan ini mengangkat fungsi JPK ke tahap lebih baik jika dibandingkan peranannya terdahulu yang sering dipinggirkan menteri dan penjawat awam.

Lihat sahaja bagaimana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang menolak untuk hadir dalam siasatan dikelola Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK) mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam isu konflik berkepentingan melibat milikan saham adiknya pada awal Januari 2022.

Lebih mengecewakan lagi apabila perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob memutuskan Azam tidak perlu hadir ke JPK tersebut dan menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendakwa tiada kes melibatkan KP SPRM itu.

Sewaktu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi pengerusi Kaukus Reformasi dan Urus Tadbir pada 2019 membangkitkan kekangan fungsi JPK apabila terdapat segelintir pegawai kanan kerajaan yang enggan memberi kerjasama untuk menghadiri siasatan JPK yang baru ditubuhkan.

Reformasi di landasan tepat

Naratif mengatakan kaedah ini membuang masa dan tidak berkesan adalah pandangan yang kurang tepat. Negara maju dan rakan serantau kita seperti Indonesia juga mengamalkan konsep sama dan pelabur lebih yakin dan selamat melabur jika institusi kerajaan itu mempunyai sistem kawalan semak dan imbang yang baik.

Ini bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam urusan perniagaan yang merugikan pihak industri dan pekerja.

Selain itu, Rang Undang-Undang Ombudsman juga wajar dibentangkan segera di parlimen Malaysia. Ombudsman adalah badan bebas yang akan menyiasat aduan awam berkena salah guna kuasa dan kelemahan perkhidmatan kerajaan.

Dengan adanya Ombudsman, ia dapat melancarkan lagi tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Kini, RUU ini berada di peringkat persetujuan jemaah menteri dan tidak mustahil akan dibentangkan pada sesi akan datang.

Fungsi Parlimen menyiasat badan eksekutif dan penjawat awam adalah untuk mengangkat urus tadbir yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Logiknya mudah, lebih banyak pendekatan memperkukuh peranan semak dan imbang ke atas kerajaan, kualiti perkhidmatan dan integriti dapat ditambahbaik dalam usaha menyampaikan dasar yang menguntungkan rakyat.

Parlimen Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk menyempurnakan reformasinya. Perkara ini sepatutnya menjadi teladan kepada ahli Parlimen, kerajaan dan penjawat awam yang dunia hari ini mementingkan kejujuran dan kecekapan dalam menguruskan hal ehwal masyarakat dan negara.  – 11 Jun, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen