Tajuddin dakwa tolak tawaran Perikatan tanding di Pasir Salak pada PRU15


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Perikatan Nasional pernah menawarkan beliau bertanding di Pasir Salak pada PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2023.

BEKAS ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Perikatan Nasional (PN) menawarkan beliau bertanding di kawasan Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Umno menggugurkan namanya daripada senarai calon.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu bagaimanapun berkata beliau menolak tawaran itu.

“Apabila nama saya tidak dimasukkan dalam senarai calon (Barisan Nasional), saya ditawarkan bertanding pada PRU15.

“Sekiranya saya menerima tawaran itu, saya akan tetap menjadi ahli Parlimen Pasir Salak.

“Pemenang sekarang Jamaluddin Yahya tidak akan berpeluang (menang jika saya bertanding),” kata Tajuddin kepada pemberita hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Tajuddin, yang digantung daripada Umno selama enam tahun sejak tahun lalu, membuat penampilan mengejut pada Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini.

Beliau digantung keahlian kerana mengkritik parti itu dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun digantung, Tajuddin berikrar taat setia kepada Umno.

“Saya setia kepada Umno. Umno telah banyak berjasa kepada saya dan banyak yang telah saya buat untuk Umno.

“Jadi, kenapa saya perlu tinggalkan? Saya akan menjadi bodoh jika saya mahu tinggalkan.

“Saya tidak akan meninggalkan Umno,” katanya.

Ditanya mengenai rayuannya berhubung penggantungan parti selama enam tahun, Tajuddin berkata beliau telah menghantar tiga surat kepada Ahmad Zahid tetapi mendakwa tidak menerima sebarang jawapan.

Beliau turut menggesa parti itu membatalkan penggantungan itu dan mengembalikan status keahliannya supaya dapat menyumbang untuk pilihan raya negeri akan datang.

“Saya mahu membantu parti ini dalam pilihan raya negeri akan datang jadi saya ingin mempunyai keahlian saya semula,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Tajuddin dipecat daripada majlis tertinggi parti  Melayu itu. Beliau juga digugurkan sebagai duta Malaysia ke Indonesia pada Julai.

Beliau kemudiannya digantung keahlian parti pada Oktober tahun lalu. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen