Pesawat gantian Air India bawa penumpang terkandas dari Rusia ke AS


Penerbangan Air India Delhi-San Francisco dengan 216 penumpang dan 16 kru terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Magadan pada Rabu selepas satu daripada enjinnya mengalami masalah. – Gambar AFP, 9 Jun, 2023.

SYARIKAT penerbangan Air India berkata pesawat gantian yang dihantar untuk membawa penumpang dan kru yang terkandas di Lapangan Terbang Magadan, Rusia semalam berlepas ke San Francisco, lapor Xinhua.

Penerbangan Air India Delhi-San Francisco dengan 216 penumpang dan 16 kru terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Magadan pada Rabu selepas satu daripada enjinnya mengalami masalah. Penumpang dan anak kapal terkandas di lapangan terbang itu.

“Pesawat Air India AI173D berlepas ke San Francisco dari Magadan. Penerbangan AI173D dari Magadan, Rusia (GDX) kini terbang ke San Francisco (SFO) membawa semua penumpang dan kru.

“Penerbangan itu berlepas dari GDX pada 10:27 waktu tempatan pada 8 Jun dan dijangka tiba di SFO pada 00:15 waktu tempatan pada 8 Jun,” menurut syarikat penerbangan India itu dalam satu kenyataan.”

Pesawat gantian yang berlepas dari Mumbai pada Rabu membawa makanan dan keperluan lain untuk penumpang yang terkandas.

“Air India menggerakkan sokongan tambahan darat di SFO untuk melaksanakan formaliti pelepasan semua penumpang semasa ketibaan. Pasukan di SFO bersedia untuk memberikan semua bantuan yang diperlukan kepada penumpang, termasuk tetapi tidak terhad kepada penjagaan perubatan, pengangkutan darat dan sambungan seterusnya dalam kes yang berkenaan,” menurut syarikat penerbangan itu.

Air India tidak mendedahkan tentang masalah teknikal yang memaksa penerbangan itu mendarat di Magadan.

Dengan ketiadaan kakitangan di Magadan atau Rusia, Air India berkata sokongan darat untuk penumpang disediakan melalui hubungan dengan pegawai Kementerian Luar India di Vladivostok, pengendali darat tempatan dan pihak berkuasa Rusia.

Penumpang pesawat terkandas termasuk kanak-kanak dan warga emas mendapati mereka berdepan kesulitan susulan perbezaan bahasa bahasa, makanan dan penginapan yang tidak berkualiti di Magadan. – Bernama, 9 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen