Keuntungan Petronas naik 2% pada suku pertama


Presiden dan CEO Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas akan kekal berhati-hati, memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan berhemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

KEUNTUNGAN selepas cukai (PAT) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) naik 2% kepada RM23.8 bilion menjelang suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding tempoh yang sama setahun sebelum ini.

Peningkatan dalam PAT kali ini disumbangkan oleh pendapatan faedah yang lebih baik dan cukai yang agak rendah sejajar dengan penurunan keuntungan yang diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan yang lebih rendah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

Kumpulan itu mencatatkan EBITDA sebanyak RM38.6 bilion, lebih rendah sebanyak RM1.8 bilion disebabkan oleh kos produk yang lebih tinggi serta perbelanjaan mengurus yang sebahagiannya diketepikan oleh peningkatan hasil yang agak memberangsangkan.

Perolehan kumpulan bagi suku pertama dalam tinjauan menokok 16% kepada RM90.4 bilion berbanding suku yang sama pada 2022 selepas disokong oleh peningkatan volum jualan dan impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah daripada produk utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas akan kekal berhati-hati, memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan berhemah termasuk membuat pelaburan bagi mengukuhkan perniagaan terasnya dan mengembangkan portfolio perniagaannya.

“Pada setiap masa, kami akan menyasarkan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang kepentingan serta rakan kongsi kami, dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan modal Petronas (capex) berjumlah RM10.5 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan gas.

Capex domestik bertambah sebanyak 44% berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini terutamanya untuk pelaburan dalam projek gas asli cecair terapung (LNG) berhampiran pesisir Petronas di Sabah dan pembangunan medan gas Kasawari di Sarawak.

Keuntungan selepas cukai Petronas naik 2% kepada RM23.8 bilion menjelang suku pertama tahun kewangan 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2023.

Jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM713.6 bilion pada 31 Mac 2023 daripada RM710.6 bilion yang direkodkan semasa 31 Disember 2022 selepas disumbangkan oleh tunai yang lebih tinggi dan setara tunai yang sebahagiannya diimbangi oleh penghutang yang lebih rendah.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi berkurangan sebanyak RM2.3 bilion sejajar dengan tunai yang lebih rendah yang dijana daripada peningkatan operasi dan cukai yang dibayar berkaitan dengan tahun taksiran sebelumnya yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah lebih tinggi yang diterima.

Bagi bahagian huluan, PAT untuk suku pertama 2023 adalah RM12.5 bilion, meningkat RM600 juta disebabkan oleh pertambahan dalam hasil yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi, manakala perolehan bagi suku pertama 2023 mencecah RM35.9 bilion, menokok RM1.1 bilion jika dibandingkan dengan suku pertama 2022.

“Ini dipacu oleh minyak mentah yang lebih tinggi dan kondensat serta volum jualan gas asli ditambah pula dengan impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing dan ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah bagi minyak mentah dan kondensat,” katanya.

Jumlah purata pengeluaran harian bagi suku pertama 2023 adalah sebanyak 2,497 ribu tong setara minyak (BOE) sehari berbanding hanya 41,000 BOE sehari yang dicatatkan semasa suku sama tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh lonjakan dalam pengeluaran gas daripada operasi Malaysia, ditambah pula dengan pengeluaran minyak mentah yang lebih tinggi daripada operasi antarabangsa tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh kondensat dan pengeluaran gas asli yang kurang memberangsangkan daripada operasi antarabangsa.

Bagi bahagian gas, PAT mencatatkan RM8.8 bilion berbanding RM8.4 bilion pada suku yang sama 2022 selepas didorong oleh hasil yang lebih positif dan sebahagiannya diimbangi dengan kos produk yang lebih mahal, manakala hasil bagi suku pertama 2023 adalah RM33.2 bilion, melonjak RM5.7 bilion berbanding suku yang sama 2022 disebabkan hasil daripada LNG yang lebih baik dan harga purata gas terproses yang direalisasikan, volum jualan yang lebih tinggi serta impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing.

Purata volum gas jualan Malaysia meningkat sebanyak 310 juta kaki padu standard sehari terutamanya disebabkan oleh pengambilan yang lebih tinggi daripada sektor tenaga di Semenanjung Malaysia.

Jumlah jualan LNG kasar naik 0.50 juta tan metrik disebabkan oleh pengeluaran loji yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan permintaan. – Bernama, 7 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen