TH umum 3.1% agihan keuntungan bagi 2022


Kadar agihan keuntungan TH tahun 2022 sama dengan 2021 iaitu 3.1% namun ada peningkatan 7% daripada jumlah agihan keuntungan iaitu RM2.65 bilion pada 2022 berbanding RM2.46 bilion pada tahun sebelumnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2023.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan 3.1% selepas zakat bagi tahun kewangan 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar ketika mengumumkan perkara itu berkata agihan keuntungan berkenaan melibatkan jumlah sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

Beliau turut mengumumkan TH mencatatkan pendapatan kasar RM3.8 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM3.72 bilion pada 2021.

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34% dan zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.

Menurut Mohd Na’im pengiraan agihan keuntungan tahun 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun iaitu sebagaimana pengiraan tahun sebelum ini.

“Agihan ini ditolak zakat berjumlah RM97 juta yang dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit TH.

“Pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. Sehingga kini, TH melunaskan zakat berjumlah RM1.27 bilion,” katanya.

Beliau berkata pendeposit TH boleh memeriksa keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari esok menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Sementara itu Mustakim berkata kadar agihan keuntungan TH tahun 2022 adalah sama dengan 2021 iaitu 3.1% namun ada peningkatan 7% daripada jumlah agihan keuntungan iaitu RM2.65 bilion pada 2022 berbanding RM2.46 bilion pada tahun sebelumnya.

Mustakim berkata kenaikan jumlah agihan keuntungan itu adalah disebabkan peningkatan simpanan dalam akaun pendeposit TH. – Bernama, 28 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen