MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) kembali untuk mencatatkan laba selepas merekodkan keuntungan bersih RM187.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding kerugian bersih RM766.44 juta semasa tahun kewangan sebelumnya.
Perolehan bagi tahun ini melonjak 86.9% kepada RM3.13 bilion daripada RM1.67 bilion.
“Peningkatan hasil ini seiring dengan tambahan ketara lebih dua kali ganda dalam pergerakan penumpang sehingga mencecah 83.9 juta termasuk pemulihan 60% daripada jumlah sebelum Covid-19.
“Pemulihan pergerakan penumpang ini didorong oleh pelonggaran protokol perjalanan selain penyambungan semula perkhidmatan dan kesalinghubungan syarikat penerbangan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Perolehan daripada operasi lapangan terbang naik ketara sebanyak 95.3% kepada RM2.86 bilion berbanding RM1.47 bilion sebelumnya, manakala pendapatan dalam segmen aeronautik meningkat kepada RM1.66 bilion daripada RM798.1 juta selepas didorong oleh pemulihan trafik penumpang daripada 36.1 juta kepada 83.9 juta.
“Trafik penumpang operasi di Malaysia menokok kepada 52.7 juta berbanding 10.7 juta penumpang yang disaksikan semasa tahun sebelum ini.
“Sementara itu, operasi Turkiye terus menunjukkan pemulihan trafik penumpang daripada 25.4 juta kepada 31.2 juta penumpang dalam tempoh yang sama. Penumpang antarabangsa di Turkiye bagi tempoh semasa telah melebihi paras pra-Covid sebanyak 1.7 juta penumpang,” katanya.
Secara keseluruhan, operasi Malaysia serta Turki mencatatkan peningkatan ketara perolehan sebanyak 152.7% kepada RM1.7 bilion berbanding RM673.8 juta dan 45.7% kepada RM1.33 bilion daripada RM910.1 juta.
“Manakala, operasi di Qatar mencerminkan kenaikan pendapatan pada paras 10.3% atau RM98.3 juta daripada RM89.1 juta,” katanya. – Bernama, 28 Februari 2023.
Komen