SEBANYAK 38 daripada 717 projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara dikenal pasti sebagai ‘projek sakit,’ kata timbalan menterinya Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata walaupun terdapat beberapa projek terpaksa terhenti seketika berikutan masalah, namun pihaknya sentiasa menasihati kontraktor supaya mengatasi masalah itu segera untuk mengelak daripada dikenakan denda kerana lewat.
“Antara punca projek mengalami kelewatan adalah perintah kawalan pergerakan (bagi projek bermula 2019), kekurangan tenaga buruh dan juga isu lot tanah yang perlu dipindah milik.
“Kami sentiasa pantau semua kategori projek di seluruh negara termasuk pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) supaya ia disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek klinik kesihatan jenis 7 di Machang, Kelantan yang disempurnakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata setakat ini sebanyak 72 projek membabitkan fasiliti kesihatan sedang dalam pembinaan.
“Semua projek babitkan fasiliti kesihatan ini ditambah baik dan antara usaha yang dilaksanakan adalah program sijil kursus kompetensi kontraktor kesihatan yang berlangsung di Melaka pada 29 Mei lalu.
“Kursus ini bertujuan mewujudkan satu kriteria yang lebih ketat dan menyeluruh, bagi pelantikan kontraktor khusus untuk projek fasiliti kesihatan demi memperkasakan infrastruktur sektor kesihatan negara,” katanya. – Bernama, 3 Jun, 2023.
Komen