130 jalan raya rosak kerana banjir, kata kementerian


Petugas memasang jambatan bailey di laluan FT2490 jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar di Rompin, Pahang. – Gambar Facebook Jabatan Kerja Raya, 5 Mac, 2023.

SEBANYAK 130 kerosakan jalan raya di jalan persekutuan dan negeri di negeri yang dilanda banjir dilaporkan akibat bencana itu setakat ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 56 kerosakan adalah di jalan persekutuan dan memerlukan hampir RM130 juta untuk memperbaikinya secara berperingkat mengikut tahap kerosakannya selepas peruntukan diterima.

“Yang mana boleh dipercepatkan kita akan segerakan, kalau ada yang perlu bina jambatan dan seumpamanya kita akan lakukan kajian terlebih dahulu,” katanya selepas memantau pemasangan jambatan bailey di laluan FT2490 jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar di Rompin, Pahang hari ini.

Mengulas mengenai pemasangan jambatan bailey atau jambatan panel keluli bermodular sepanjang 42.67 meter itu, beliau berkata ia giat dijalankan dan dijangka siap petang esok.

Menurutnya, kerja menstabilkan hakisan dilaksanakan semalam sebelum pemasangan jambatan itu dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan 80 petugas.

“Setakat ini, pemasangan berjalan lancar yang mana mereka bekerja secara 24 jam, cuma mungkin cabaran di sini kawasannya agak sempit namun mereka akan lakukan sehabis baik untuk menyiapkan pemasangan jambatan itu,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Uzir, komponen jambatan sementara itu digerakkan ke lokasi pada Khamis dari JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.

Runtuhan jalan yang dianggarkan sepanjang 23m itu mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan demi keselamatan pengguna.

Jalan itu merupakan laluan yang menghubungkan penduduk setempat Felda Selancar ke Segamat dan juga ke Muadzam Shah. – Bernama, 5 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen