Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya tutup setahun, kata KKR


KKR berkata laluan Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya akan ditutup selama setahun bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan tanah runtuh dilakukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Disember, 2022.

LALUAN Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya di Hulu Selangor akan ditutup selama setahun sebelum dibuka kepada orang ramai berikutan insiden tanah runtuh pada Jumaat yang setakat ini meragut 24 nyawa, kata Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ketua Setiausaha KKR Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dilapor Berita Harian berkata langkah itu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan tanah runtuh dilakukan.

Susulan itu pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif yang akan dikeluarkan bilik gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat, menurutnya.

Wan Uzir juga dipetik berkata KKR akan membuat kajian lebih mendalam berhubung pembinaan cerun selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak kejadian tanah runtuh itu berakhir.

“Walaupun jalan itu OK, kita tidak berani buka sehingga cerun baharu dibuat yang akan mengambil tempoh kira-kira setahun,” katanya.

Tambah beliau, insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya disebabkan faktor semula jadi kerana adanya aliran air bawah tanah.

“Ia juga tidak disebabkan pengairan secara haram dari tapak perkhemahan, namun pergerakan air yang kita tidak nampak dari mata kasar,” katanya.

Setakat ini 24 lagi terkorban manakala sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 2.42 pagi Jumaat itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter menimpa tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali. – 20 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen