30 penggiat seni dibenar tuntut bayaran royalti


SERAMAI 30 penggiat seni tanah air hari ini berjaya memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) bagi menuntut pembayaran royalti sejak 2017.

Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan difailkan 30 individu selaku pemohon mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Antara penggiat seni itu termasuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, DJ Dave (Irwan Shah Abdullah), J Sham (Shamsuddin Jaafar), Azharina Azhar dan Aris Ariwatan (Haris Fadzilah Daud).

Semua pemohon yang merupakan penyanyi dan pemuzik memfailkan permohonan itu pada 8 Disember 2022 dengan menamakan PRISM, yang kini digulungkan, sebagai responden.

Jamal menerusi afidavit sokongannya menyatakan PRISM diisytiharkan sebagai satu badan pelesenan di bawah Seksyen 27A Akta Hakcipta 1987 untuk menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi pihak ahlinya terdiri daripada kalangan penyanyi dan pemuzik.

Dakwanya, PRISM gagal untuk mengutip dan membuat pengagihan jumlah kutipan royalti yang layak diterima oleh pemohon bagi tempoh 2017 hingga 2021 dan semua pemohon masih belum menerima apa-apa bayaran daripada jumlah kutipan royalti berkenaan yang layak diterima mereka daripada PRISM.

Oleh itu, pemohon memohon deklarasi PRISM cuai menjalankan tugasnya sebagai pemegang amanah untuk mengutip dan mengagihkan wang royalti bagi semua pemohon dan memohon perintah antaranya supaya PRISM membayar royalti bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2021.

Ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Kamaruzaman Arif, yang mewakili semua pemohon berkata, keputusan mahkamah hari ini bukan sahaja untuk anak guamnya tetapi ia memberi lembaran baharu atau tanda aras buat penggiat seni.

Menurut peguam itu, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM secepat mungkin bagi mengetahui bagaimana pengiraan royalti dibuat kerana ia membabitkan wang amanah.

“Kami tahu wang royalti ini dikutip pada 2017 dan 2018, namun bagi tahun seterusnya tiada maklumat sama ada wang itu dikutip atau tidak.

“Keputusan hari ini amat menggembirakan dan ia satu pasca baharu untuk dunia hiburan. Pihak terbabit perlu memberi penjelasan kepada mahkamah mengapa artis tidak mendapat bayaran royalti sedangkan lagu mereka dimainkan di radio,” katanya.

Sementara itu, pelantun lagu “Kekasih Awal dan Akhir”, Jamal bersyukur dengan keputusan hari ini dan berharap golongan artis tidak tertindas pada masa depan.

Berkongsi pendapat sama, penyanyi lagu “Lamunan Terhenti”, Aris Ariwatan berkata ia satu titik permulaan untuk penggiat seni tanah air.

Semua pemohon turut diwakili peguam Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Sofiah Omar dan Muhammad Izzat Dzulkafli manakala pegawai penerima & pelikuidasi yang juga Peguam Kanan Persekutuan dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur Rahni Kartini Abd Rahim dan Norizan Omar turut hadir pada prosiding hari ini. – Bernama, 1 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen