Pemilik restoran kecewa SOP di Selangor bercanggah


Raevathi Supramaniam

Terdapat kekeliruan dan percanggahan antara SOP kebangsaan yang dikeluarkan MKN dan undang-undang kecil tempatan Selangor berhubung memainkan rakaman muzik di restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober 2021.

PERINCIAN kecil prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 mengenai permainan muzik latar menimbulkan kemarahan beberapa pemilik perniagaan makanan dan minuman di Selangor apabila didenda RM25,000 pihak berkuasa tempatan.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy Lim berkata terdapat kekeliruan dan percanggahan antara SOP kebangsaan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan undang-undang kecil tempatan Selangor berhubung memainkan rakaman muzik di restoran.

Beberapa pemilik kedai makanan dan minuman di negeri ini dikenakan kompaun walaupun SOP berkaitan hiburan di negeri Fasa 4 membenarkan rakaman serta siaran langsung untuk tujuan maklumat dan hiburan biarpun ia tidak khusus kepada restoran.

Berikutan keadaan sunyi, pengusaha memainkan muzik latar di kedai mereka, akan tetapi ia melanggar enakmen tempatan di Selangor.

Lim berkata, ini melahirkan kekecewaan di kalangan pemilik perniagaan makanan dan minuman yang dibenarkan beroperasi selepas ditutup dalam tempoh masa panjang namun kini dibebani denda berat.

“Dengan penguatkuasaan yang berbeza di peringkat negeri, setiap orang mempunyai keutamaan masing-masing dan ia nampaknya tidak selari dengan objektif kerajaan Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Memainkan muzik latar tiada kaitan dengan mengekang penularan Covid-19, namun ia menjadi punca kekecewaan besar kepada beberapa ahli persatuan yang dikenakan denda.

“Ada beberapa pihak berkuasa tempatan yang tidak selari dari segi komunikasi. Kerajaan Persekutuan kata anda boleh (main muzik), negeri kata anda hanya boleh makan, tetapi tiada muzik latar.

“Kami telah berjuang mengenai masalah ini. Ia menjengkelkan,” kata Lim.

SOP MKN untuk negeri Fasa 4 membenarkan penyiaran kandungan rakaman secara langsung, penyiaran maklumat dan hiburan serta busking.

Ia tidak menyatakan tempat aktiviti ini boleh diadakan dan menggabungkannya di bawah “Aktiviti dan hiburan industri kreatif”.

Ia juga membenarkan persembahan secara langsung di lobi hotel, muzikal dan teater, asalkan kehadiran didaftarkan.

Lim berkata ahli persatuan itu di Selangor berdepan tempoh paling sukar dalam hal ini. Persatuan itu mewakili 500 ahli dalam sektor perniagaan makanan dan minuman.

Beliau berkata penguatkuasa telah menggunakan Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 (Pindaan 2001) bagi mengenakan denda RM25,000 kepada pengusaha.

“Di beberapa pihak berkuasa tempatan di Selangor, mereka menyatakan muzik latar memerlukan lesen berasingan dan mereka memetik enakmen 1995 yang mengatakan semua siaran awam adalah hiburan melainkan melalui telefon.

“Mereka mendenda ahli kami RM25,000 kerana ini. Senario terburuk ialah apabila salah satu lesen ahli kami dibatalkan dan perniagaannya diarah tutup.”

Lim berkata industri itu terbeban kerana tidak mengaut keuntungan hampir dua tahun dan merayu kerajaan negeri untuk memahami keadaan mereka.

“Kami dibebani dan kami memerlukan Adun untuk bekerjasama dengan kami.”

Setakat ini, Lim berkata kira-kira empat hingga enam ahlinya bersuara secara terbuka mengenai penguatkuasaan yang mengelirukan itu manakala selebihnya memilih untuk untuk berdiam diri dan hanya membayar denda.

“Empat daripada mereka didenda kerana memainkan muzik latar manakala seorang daripadanya didenda kerana menjemput busker. Ini berlaku di kawasan PJ Uptown dan Subang.”

Lim berkata terdapat juga insiden terpencil di Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.

“Di Penampang, Sabah, ahli kami diberitahu oleh agensi penguatkuasa tempatan bahawa untuk memainkan muzik latar atau menjemput busker secara langsung, mereka perlu memohon lesen yang bernilai RM100 sehari.”

Lim berkata persatuan itu sepatutnya bertemu dengan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari pada Ogos lalu tetapi mesyuarat itu ditangguhkan sebanyak tiga kali.

Malah, mesyuarat terakhir yang sepatutnya dijadualkan pada 29 Oktober juga ditangguhkan. – 31 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen