Mahkamah benar Bersatu cabar pembekuan akaun, larangan perjalanan Muhyiddin


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Bersatu untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan agensi antirasuah membekukan akaun bank parti itu dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen ke atas presidennya Muhyiddin Yassin.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan permohonan Bersatu untuk kebenaran membuat semakan kehakiman itu bukan sesuatu yang remeh dan menyusahkan.

Bersatu membuat semakan kehakiman yang difailkan oleh setiausaha kerjanya Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin.

Mereka menamakan 20 responden antaranya Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Hishamuddin Hashim; Pengarah bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.

Dalam permohonannya, Bersatu mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berniat jahat apabila membekukan akaun bank parti dengan CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank.

Tindakan itu satu penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang, dakwa Bersatu.

Ia juga mendakwa tindakan SPRM itu mempunyai maksud politik terhadap Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Bersatu juga mendakwa Jabatan Imigresen mencemarkan nama baik Muhyiddin apabila mengenakan larangan perjalanan, seolah-olah bekas perdana menteri melakukan kesalahan dan mahu melarikan diri.

Bersatu memohon perintah interim supaya Muhyiddin dibolehkan bergerak bebas dan membuat perjalanan ke luar negara tanpa sekatan.

Ia juga memohon mahkamah membatalkan perintah pembekuan yang dikeluarkan ke atas parti itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bersatu turut memohon mahkamah mengisytharkan bahawa sebagai parti politik yang berdaftar secara sah, ia mempunyai hak dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan dan hak asasinya tidak boleh dilanggar secara salah.– 30 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen