PAS ‘musuh dekat’ Umno


Mohd Azizi Jaeh

PAS-Umno bersaing rapat untuk memenangi hati akar umbi, batang tubuh dan minda orang Melayu sebagai parti perdana yang paling senior. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei 2023. 

BOLEH dikatakan PAS kini berada pada kedudukan terkuat dalam sejarah mereka menyertai pilihan raya. Keupayaan memenangi 43 kerusi parlimen pada PRU15 dianggap suatu kebangkitan di luar jangka.

Hanya selepas 72 tahun penubuhannya, PAS pertama kalinya mengatasi bilangan kerusi yang dimenangi oleh Umno. Kini PAS dikira sebagai ancaman agresif yang mampu menggegarkan kedudukan Umno.  

Sejarah mencatatkan persengketaan PAS-Umno ada detik dan ketikanya dapat dihentikan. Detik Umno dalam keadaan lemah selepas PRU ke-3 1969 dan ketika kekalahan Umno pada PRU ke-14 2018.

Sejak itu, PAS mengalami pengalaman pahit-maung berikutan kerjasama dan gabungannya dalam kerajaan campuran Barisan Nasional 1974-1977 menemui titik kegagalan. 

Begitu juga dengan Muafakat Nasional yang direncanakan pada September 2019 terkandas di sekerat jalan.

Pendek kata kedua parti yang bersentuhan rapat dengan institusi orang Melayu ini tidak pernah berjaya dan bertahan lama dalam menjalinkan kerjasama politik. Hanya beberapa tahun berbaik, mereka akan kembali bermusuh.

Bersaing

Sifir politik yang harus difahami, kedua parti politik tidak boleh sama-sama kuat dalam masa serentak. 

Realpolitik yang sedang berlaku ialah jika PAS kuat, Umno akan lemah, begitulah sebaliknya. Kerana mereka bertanding di kebanyakan kawasan pilihan raya yang sama – salah satu pasti menang, manakala salah satu lagi akan kecundang.

Dari satu segi, gagasan ‘Penyatuan Ummah’ bukanlah tidak baik tetapi kerana ia boleh memperkukuhkan satu-satu parti, tetapi memberi kesan dan menjejaskan kedudukan kumpulan yang bertentangan dalam Umno mahupun PAS.

Sebenarnya PAS dapat menuai keuntungan politik yang besar sekiranya Umno dalam situasi tidak stabil dan bergolak. Setiap kali perpecahan elit dalaman Umno ia pastinya mengesankan prestasi keseluruhan Umno dalam PRU.

Perkelahian Team A dan Team B dalam sejarah Umno pada hujung 1980-an antara contoh tragedi yang akhirnya memberi impak kekalahan besar Umno di Kelantan pada 21 Oktober 1990.

Maka tidak hairanlah, tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Perlis hasil kerjasama PAS dan Bersatu (Perikatan Nasional) dalam PRU15 lalu dikatakan mengulangi ‘sejarah 1990’ ketika pakatan politik PAS, Semangat 46 dan Berjasa (Angkatan Perpaduan Ummah) dapat menyapu bersih kesemua kerusi yang dipertandingkan.

PAS bukan setakat mengulangi ‘sejarah 1990’ apabila berjaya menawan Kelantan sepenuhnya, malah hampir memperluaskan penguasaan sepenuhnya di tiga buah negeri yang lain (kecuali Kedah satu-satunya kerusi Sungai Petani dimenangi Pakatan Harapan). Empat negeri Malay belt Umno lumpuh tanpa sebarang kerusi.

Dapat diperhatikan setiap kali Umno berdepan krisis dan keberantakan, PAS akan menerima kelebihan. Undi orang Melayu akan melimpah turun kepada PAS.

Sikap dan tingkah laku pengundi Melayu ‘tidak akan pergi melangkaui’ parti yang terlalu berbeza. Mereka akan memilih parti paling dekat dan selesa dengan kehidupan seharian mereka sebagai ‘perumah’ dan kubu pelindung.

Di pedalaman, desa atau kampung-kampung yang mana terdapat bangunan cawangan Umno, maka kawasan berdekatan turut akan kelihatan sarang dan markas PAS berdiri.

Sekian lama, simbol ‘bulan mengambang’ menjadi perlawanan sengit kepada simbol ‘dacing sama berat’ dan ‘keris Melayu’ – bukan perkara asing untuk masyarakat desa. Malah ada individu yang sememangnya ‘terbancuh pekat’ dan totok dengan salah satu lambang parti tersebut.

PAS-Umno bersaing rapat untuk memenangi hati akar umbi, batang tubuh dan minda orang Melayu sebagai parti perdana yang paling senior. 

PAS tidak membuang masa mengambil peluang dengan kedudukannya sebagai menteri semasa dalam kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob untuk memperluaskan pengaruh di kawasan-kawasan di mana undi Melayu menjadi faktor penentu PN merangkul 74 kerusi dan Umno terkena pukulan maut dengan hanya memungut 26 kerusi.    

Dalam keadaan sedemikian, undi yang dimiliki Umno selama ini dipindahkan kepada PAS dan PN. Ini jelas terpapar dalam PRU yang berlangsung 6 bulan yang lalu.

Modus operandi PAS untuk melemahkan musuh terdekatnya sekarang ialah meneruskan ‘permainan politik kanan’ – politik yang kuat didasari dengan kecenderungan semangat kaum dan agama. Dengan cara menempatkan diri mereka lebih lantang  tentang isu Melayu berbanding Umno.

Satu dilema yang harus ditangani Umno secara taktikal. Posisi Umno dalam kerajaan dan kerjasama dengan parti rentas kaum sekarang menampakkan mereka bukan lagi ‘parti Melayu tulen’ di mata orang Melayu (baca: persepsi).

Mereka terpaksa melunakkan penyuaraan tegas berhubung hal-hal keMelayuan dan bergerak dalam sedikit kerangka baru bagi memastikan kelangsungan parti berjalan mengikut garis dan jajaran kerajaan perpaduan.

Dengan demikian, PAS akan lebih mudah mengatur permainan persepsi dan menuduh Umno kini ‘menyimpang’ dan ‘cair’ daripada perjuangan asalnya untuk membela kepentingan umat Melayu Islam.    

Secara tak langsung, orang yang berpegang kepada tradisi politik Melayu akan menjarakkan diri daripada mengundi Umno.

Ironinya Umno sekarang berdepan bahang kebangkitan PAS yang membawa kaedah politik bangkangan dalam nada yang agak kanan. 

Pindah

Satu lagi fenomena yang boleh menjejaskan kesediaan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berapa lama lagi adalah perpindahan bekas pemimpin-pemimpin Umno ke dalam PAS dan entiti PN khususnya.

Mereka bukan setakat bertukar warna parti, bahkan membawa bersama jumlah pengikut dalam kuantiti yang signifikan. 

Nama seperti Annuar Musa dan Noh Omar antara bekas pemimpin Umno yang berprofil tinggi yang disebut-sebut boleh menjejaskan ketumbukan Umno untuk menghadapi PRN.

Cabaran yang penting kepada Umno sekarang adalah ‘musuh yang paling dekat’ –bekas pemimpin yang berpotensi melemahkan parti. 

Kemerosotan Umno jika diteliti berpunca daripada pembuangan dan penyingkiran sedikit demi sedikit nama besar sejak Reformasi 1998 lagi.

Hakikatnya Umno adalah sebuah parti induk di negara ini. PAS dari segi sejarah turut tertubuh hasil daripada serpihan Umno. 

Pengasas Umno Onn Jaafar pernah mengungkapkan yang kelahiran parti PAS membayangkan gegaran akan “bahaya dari gunung.”

Tanpa disangka selepas lebih tujuh dekad berlalu, PAS tetap musuh sejati Umno. Parti yang mula bertapak di Gunung Semanggol, Perak ini tetap ancaman Umno selepas 72 tahun. – 30 Mei 2023. 

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen