Saya tak terlalu tua untuk jadi PM semula, kata Dr Mahathir


Bede Hong

DR Mahathir Mohamad hari berkata beliau tidak terlalu tua untuk menjadi perdana menteri semula, isu yang sering dimainkan oleh bekas anak didiknya yang kini menjadi seteru politiknya, Najib Razak.

“Jangan fikir hanya kerana berumur 93 tahun, awak tak boleh jadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri 15 tahun lalu. Beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-93 Julai ini.

“Ramai orang yang sudah berumur 100 tahun tetapi masih boleh berfikir dan menggunakan otak mereka,” beliau berkata demikian ketika hadir di forum “Adakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM?” anjuran akhbar Sinar Harian.

Difahamkan Sinar Harian menjemput Dr Mahathir hadir dan terkejut bekas perdana menteri itu memenuhi jemputan tersebut.

Dr Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan dinamakan sebagai calon perdana menteri Disember lalu, berkata beliau “rela” diberi jawatan itu kerana “keadaan yang memaksa”.

“Saya letak jawatan 15 tahun dulu. Saya juga mahu bersara. Saya fikir nak naik cruise dan nikmati kehidupan sikit,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam politik semula selepas “konvoi” pemimpin Umno meminta beliau “berbuat sesuatu” dengan Perdana Menteri Najib Razak apabila timbul skandal 1MDB.

“Saya letak jawatan, dan ia tidak memberi kesan, dan sekarang saya terpaksa sama-sama cuba untuk jatuhkan dia dan saya tak boleh buat sendiri. Ia mesti dibuat melalui satu pakatan.

“Ia bukannya mudah, kerana mereka semua ini dulunya adalah musuh politik saya. Mereka panggil saya ‘Mahafiraun’ dan saya panggil mereka dengan gelaran tertentu juga,” kata Dr Mahathir.

Antara ahli panel forum tersebut ialah jurulatih kecergasan Kevin Zahri Abdul Ghaffar, pakar psikologi Dr Mat Saat Mohd Baki dan penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff.

Dr Mahathir meluangkan masa selama sejam di forum itu bersama isterinya, Dr Siti Hasmah Ali.

Apabila ditanya oleh Kamarul Zaman mengapa beliau pada mulanya mencalonkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, Dr Mahathir berkata sebelum PH ditubuhkan, beliau langsung tidak pernah terniat untuk menjawat jawatan itu semula.

“Dah tentu, beliau (Muhyiddin) berkemampuan. Saya calonkan beliau kerana saya tak mahu jadi perdana menteri. Tetapi kemudian saya dapat tahu ramai yang minta saya buat itu, buat ini.”

Antara ahli panel forum tersebut ialah jurulatih kecergasan Kevin Zahri Abdul Ghaffar (duduk paling kanan), pakar psikologi Dr Mat Saat Mohd Baki (duduk, tengah) dan penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff (berkemeja hijau). – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 22 Mac, 2018.

Dr Mahathir berkata beliau mendapati rakyat terutamanya orang Melayu di kawasan luar bandar masih lagi menyokongnya.

“Dari segi reaksi orang ramai, kalau saya muncul di mana-mana perhimpunan, jumlah yang datang akan meningkat kepada 7,000 atau 8,000. Ada sekali di Kelantan, 12,000 orang. Mereka duduk di bawah, walaupun ada majlis Umno tak jauh dari situ.

“Selepas beberapa ketika, kami sedar yang rakyat, terutamanya orang Melayu lebih sokong saya berbanding pemimpin lain.

“Kami (Bersatu) tak boleh jadi berbilang kaum. Orang Melayu kampung masih tak boleh terima parti berbilang kaum. Mereka mesti diyakinkan bahawa kepimpinan akan diterajui pemimpin Melayu.”

Dr Mahathtir berkata penerimaannya sebagai calon perdana menteri adalah “respons kepada tekanan yang saya terima dari ahli pakatan”.

“Kami semua bersetuju bahawa memandangkan saya ada lebih pengalaman sebagai perdana menteri, jadi saya yang harus memimpin. Ini keputusan yang sangat sukar bagi mereka, untuk memilih seseorang yang tidak disukai sebagai pemimpin mereka.

“Apabila mereka nak anmakan saya sebagai calon perdana menteri, saya akui ia amat sukar bagi mereka.

“Saya faham, saya tak ambil hati. Tetapi saya sering kata yang kami mesti bergerak bersama.”

Mengenai kesihatannya pula, Dr Mahathir berkata beliau masih belum lagi nyanyuk.

“Pagi tadi, saya tanya seorang wartawan Australia, ‘adakah awak dapati jawapan saya tidak relevan?’. Saya dapat menjawab semua soalan.

“Saya masih boleh meyakinkan orang ramai. Saya boleh berucap. Memanglah, saya bukannya 100% kuat. Saya perlu ke hospital untuk ambil suntikan bagi jangkitan paru-paru saya.” – 22 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pada aku sudah cukup la buat tun madey untuk mencampuri urus tadbir negara...sudah cukup 22 tahun yang lalu memerintah dengan penuh diktator...umum pun dah maklum dengan sikap tun yang hanya pentingkan kroni anak beranak

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan