Tangkapan Mazlan untuk sekat kemaraan Pakatan ke kawasan Felda, kata Amanah


Zulkifli Sulong

Naib Presiden Pakatan Harapan , Salahuddin Ayub menyifatkan Presiden Anak, Mazlan Aliman sebagai tokoh penting yang membawa Pakatan Harapan menembusi kawasan Felda di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

TINDAKAN polis menahan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pagi tadi, bertujuan untuk menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH) ke kawasan Felda, dakwa pemimpinnya.

Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub berkata Mazlan adalah tokoh penting di belakang usaha PH untuk mara ke 52 kawasan Parlimen di Felda di seluruh negara.

“Jadi saya tidak terkejut selepas tiga hari saja laporan polis dibuat ke atas beliau oleh Rosmah, polis menangkap beliau,” kata timbalan presiden Amanah itu kepada The Malaysian Insight.

“Mazlan ditahan untuk menyekat kemaraan ini,” kata Salahuddin kepada The Malaysian Insight.

Mazlan ditahan oleh sepasukan polis di rumahnya di Felda Bukit Ramon, Kulai pada jam 1.35 pagi tadi apabila beliau pulang ke rumahnya selepas menghadiri satu majlis di kawasan Felda.

Tangkapan Mazlan dibuat di bawah Akta Multimedia selepas laporan polis dibuat ke atas beliau oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor tiga hari lalu.

Selepas ditahan, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kulai, Johor.

Pada jam 8 pagi tadi, beliau dibawa ke Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur, tempat peguam Rosmah membuat laporan terhadapnya.

Mazlan sering menjadikan isu Felda sebagai fokusnya sejak berada dalam PAS menyebabkan beliau beberapa kali mendapat undi tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat.

Ketika 18 rakannya kalah dalam pemilihan PAS pada 2015 lalu, Mazlan berjaya mempertahankan kedudukannya dalam AJK PAS Pusat, namun meletakkan jawatan selepas itu dan menyertai Amanah.

Dalam satu wawancara, Mazlan Aliman tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika bercakap mengenai kemelut yang melanda agensi kerajaan itu oleh sebuah saluran YouTube milik Amanah, Oren TV.

Dalam wawancara itu, Mazlan melahirkan rasa sedih dengan skandal yang berlaku mutakhir ini dan merayu warga Felda, agar insaf dengan apa yang berlaku.

“Saya tiada apa-apa kepentingan. Sebagai anak peneroka, kasih dan sayang saya kepada peneroka Felda, saya merayu, berubahlah, demi anak-anak kita yang sedang membesar,” katanya sambil menitiskan air mata di akhir wawancara selama lebih sejam itu.

Salahuddin turut melahirkan kekesalan kerana penahanan Mazlan dibuat di waktu yang tidak tepat iaitu jam 1.35 pagi, ketika isteri dan anak-anaknya sedang tidur.

Ketika itu Mazlan baru saja sampai ke rumahnya selepas selesai lawatan ke pusat khidmat komuniti Rela, Felda Bukit Ramun yang disambut sendiri oleh ketua Rela di situ Tumijan Abu Bakar.

Pandangan Salahuddin turut dikongsi Pemuda Amanah yang melahirkan rasa kecewa atas keterdesakan Rosmah.

“Tindakan pihak polis yang berkeras menangkap beliau pada waktu yang amat tidak munasabah itu juga mengundang tanda tanya. Jenayah maha besar apakah yang dibuat aktivis rakyat tersebut hingga tidak boleh menunggu waktu siang untuk ditahan?” soal Shazni Munir, naib ketua Pemuda Amanah.

Pemuda Amanah berpendirian ia bermotifkan politik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak masuk akal seperti ini.

“Rosmah tidak seharusnya mengheret pihak polis dalam perseteruan politik dirinya dan pihak lain,” kata Shazni.

Bagi beliau, Mazlan adalah pejuang hak peneroka dan Felda.

Justeru, Pemuda Amanah akan menggerakkan kempen #BebasMazlan #TangkapNajib sebagai simbol solidariti, seterusnya mendesak agar penjenayah sebenar ditangkap, bukannya pejuang rakyat. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen